JDT mahu kekal momentum di Hiroshima

JDT mahu kekal momentum di Hiroshima


Bergson (kanan) berjaya menjaringkan gol walau dihalang pemain Sanfrecce, Naoto Arai (dua, kiri) pada perlawanan Pusingan 16 Zon Timur ACLE 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. Foto: Bernama

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mahu anak buahnya mengekalkan momentum serta mempamerkan permainan berintensiti tinggi dalam aksi timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/26 menentang Sanfrecce Hiroshima.

Katanya, perlawanan di Stadium EDION Peace Wing Hiroshima pada 11 Mac ini amat penting bagi memastikan pasukannya mara ke suku akhir.

“Kami berdepan lawan yang hebat dan penting untuk para pemain berehat serta cuba memulihkan keadaan fizikal bagi menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pada masa sama Xisco turut memuji pemain gergasi Liga Super itu yang mempamerkan prestasi bertaraf tinggi apabila menewaskan La Viola 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

“Kemenangan ini sangat besar… bukan sahaja untuk kelab tetapi juga untuk negara kerana penting untuk mempamerkan prestasi bertaraf tinggi. Namun, kami perlu terus mengekalkan momentum,” katanya.

Sementara itu, pengendali La Viola, Bartosch Paul Gauli yakin pasukannya mampu bangkit dalam aksi timbal balik.

Mengakui intensiti dan kualiti pihak lawan, beliau berkata La Viola sudah menjangka cabaran tersebut namun yakin dapat menampilkan persembahan lebih baik di laman sendiri.

“Saya bangga dengan pasukan dan gembira kerana kami menjaringkan satu gol, kerana saya fikir ia boleh memberi harapan kepada kami untuk perlawanan seterusnya,” katanya. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top