JOHOR Darul Ta’zim (JDT), juara Liga Super 11 kali berturut-turut, memiliki kelebihan signifikan apabila berdepan kelab gergasi Thailand, Buriram United, dalam aksi Pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Selasa ini.
Keyakinan ini disuarakan tonggak tengah Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya, yang percaya bahawa skuad kendalian Hector Bidoglio kini memiliki kualiti keseluruhan pasukan yang jauh lebih unggul berbanding Thunder Castle, pendahulu Liga Thailand itu.
Malah, Zhafri menjangkakan pertembungan sengit dan berintensiti tinggi akan disajikan di Cheng Arena, mengimbau kembali pertemuan panas di peringkat kumpulan yang berakhir dengan keputusan seri dan tiga kad merah di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Disember lalu.
“Semua posisi JDT lebih baik, apatah lagi dengan kehadiran tiga pemain import baharu (Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez, Roque Mesa) yang pasti akan membawa dimensi baharu kepada corak permainan pasukan JDT berbanding Buriram,” ujar Zhafri.
Harimau Selatan terus memperkuatkan cabaran kelab dari selatan tanah air itu dalam saingan tertinggi kelab Asia apabila merekrut Samu Castillejo.
Namun, beliau turut mengingatkan bahawa Buriram bimbingan Osmar Loss Vieira memiliki barisan pemain yang berbeza dalam saingan ACLE berbanding ketika The City Boys berdepan kelab berkenaan di Kejuaraan Kelab ASEAN.
“Pemain Buriram yang perlu diberi perhatian khusus oleh JDT adalah penyerang dari Brazil, Guilherme Bissoli,” tambahnya.
Sebagai rekod, Kuala Lumpur City pernah berdepan Buriram dalam saingan kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN di Chang Arena pada 6 Februari lalu, di mana mereka tewas 0-1.
Zhafri, yang berusia 29 tahun, turut berkongsi analisisnya mengenai perbezaan gaya permainan antara kedua-dua pasukan, dengan memberi kelebihan kepada JDT dalam aspek serangan.
“Bahagian serangan, penyerang dan sayap kanan JDT lebih efektif. Manakala Buriram akan memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ditinggalkan oleh pemain JDT untuk mencipta jaringan.
“Buriram gemar menguasai bola dan transisi bertahan ke menyerang mereka sangat pantas,” tambahnya.
LIGA JUARA-JUARA ASIA (ACLE)
PUSINGAN 16
PERLAWANAN PERTAMA
SELASA (4 MAC)
Buriram United lwn Johor Darul Ta’zim
(Stadium Buriram, 10 malam)
PERLAWANAN KEDUA
SELASA (11 MAC)
Johor Darul Ta’zim lwn Buriram United
(Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 8 malam)