JDT memiliki kelebihan ke atas Selangor FC menjelang perlawanan Piala Sumbangsih Jumaat ini. Foto Johor Southern Tigers
JUARA 11 kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat memiliki kelebihan menyeluruh untuk menundukkan Selangor FC dalam aksi Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.
Menurut bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir, kekuatan skuad Harimau Selatan yang dibarisi lapan pemain baharu serta barisan import dan tempatan yang berkualiti tinggi memberikan kelebihan ketara kepada juara bertahan itu.
“Dari segi persiapan dan jurang kekuatan, JDT jelas berada di hadapan, apatah lagi dengan kehadiran pengendali baharu, Xisco Munoz yang menggantikan Hector Bidoglio,” katanya kepada Sukan Sinar.
Jelasnya, Selangor kendalian Katsuhito Kinoshi mungkin akan mengambil pendekatan bertahan dan mengharapkan serangan balas, namun JDT memiliki keupayaan menyeluruh di semua posisi untuk membuka musim ini dengan menjulang trofi pertama.
Dalam masa sama, Hasnizam menyifatkan sentuhan Munoz bakal memperkenalkan dimensi taktikal baharu kepada JDT, terutama dari aspek corak permainan moden dan intensiti tinggi berbanding era Bidoglio.
“Walaupun Selangor turut memperkukuh skuad dengan beberapa pemain import dan tempatan, prestasi mereka sepanjang siri pramusim di Thailand agak mengecewakan.
“Sebaliknya, JDT menampilkan aksi meyakinkan ketika berdepan kelab ternama dalam siri jelajah di Sepanyol,” jelasnya.
Ujarnya, perlawanan pembuka tirai ini juga menjadi pentas penting buat Munoz membuktikan kemampuannya bukan sahaja dari sudut taktikal, malah dalam aspek pengurusan bilik persalinan dan tekanan penyokong.
Tambahnya lagi, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ibrahim serta sokongan padu penyokong Harimau Selatan turut menjadi faktor pemangkin buat anak buah Munoz.
“Saya jangka JDT menang 2-0. Tetapi bola itu bulat, apa sahaja boleh berlaku. Apa yang pasti, perlawanan ini menemukan dua pasukan terbaik Liga Malaysia dan kita harapkan satu aksi berkualiti tinggi ditampilkan untuk tatapan peminat,” katanya.