sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan statusnya sebagai skuad kalis kekalahan apabila mudah membenam Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-1 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kejayaan meraih tiga mata di laman lawan memberikan anak buah pengendali pasukan Harimau Selatan, Hector Bidoglio kemenangan buat kali ke-21 dalam saingan Liga Super musim ini.
Kedah hampir di depan menerusi percubaan Fayadh Zulkifli yang merembat bola kencang namun percubaannya sipi di tepi palang gol JDT.
Seakan cemas dengan situasi itu, JDT membalas serangan melalui Heberty Fernandes pada minit ke-10 dan dan disusuli gerakan dan percubaan Bergson Da Silva yang berjaya membuka jaringan pada minit ke-16.
Seminit kemudian, JDT meledak gol kedua melalui penyerangnya, Romel Morales yang merembat kencang terus ke arah gol selepas mendapat hantaran Bergson Da Silva.
JDT sekali lagi menambah gol ketiga melalui Berson selepas mendapat sepakan penalti pada minit ke-22 susulan pemain skuad Harimau Selatan, Oscar Arribas dijatuhkan dalam kotak penalti.
Kedah yang tidak berputus asa terus mencuba memburu gol pertama dan impian berkenaan menjelma pada minit ke-32 dengan percubaan jarak jauh oleh Afeeq Ikmal yang melencong masuk ke dalam gawang JDT.
Kedudukan tiga gol berbalas satu itu kekal hingga ke hujung babak pertama.
Pada aksi di babak kedua, kedua-dua pasukan sering cuba melakukan serangan memburu gol dan usaha JDT sekali lagi membuahkan hasil apabila berjaya menambah koleksi gol mereka melalui tandukan Jordi Amat pada minit ke-61.
Ketika Kedah cuba memburu gol tambahan, JDT pula terus selesa menambah gol kelima melalui pemain gantian Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-82.
Dihujung babak kedua JDT terus menambah derita Kedah apabila menambah gol keenam selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila pemain gantian, Sumareh dijatuhkan dengan sepakan diambil oleh Bergson sekali gus mencipta mencipta hatrik untuk perlawanan malam ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd