JDT, Pahang berentap final Piala Malaysia di Bukit Jalil, 12 April

JDT, Pahang berentap final Piala Malaysia di Bukit Jalil, 12 April


Stadium Nasional Bukit Jalil jadi venue final Piala Malaysia, JDT menentang Sri Pahang pada 12 April depan.

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia menemukan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Sri Pahang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 12 April depan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata, penetapan tarikh itu selepas mengambil kira kesesuaian kalendar Liga Malaysia (Liga-M) 2024-2025.

“Ia juga selepas mengambil kira penglibatan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Elite (ACLE) selepas Harimau Selatan layak ke pusingan 16 terbaik.

“Perlawanan timbal balik JDT bermula pada 4 Mac dan andai berjaya ke pusingan suku akhir, ia dijangka berlangsung pada 25,” kata pengendali liga itu pada Sabtu.

Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio melangkah ke final Piala Malaysia dengan agregat 6-1 ke atas Terengganu FC.

Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad pula mara ke final selepas menewaskan Sabah FC dengan agregat 3-2.

Tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia itu juga menurut MFL akan memberi ruang kepada JDT untuk mengharungi peringkat kalah mati ACLE yang cukup penting dalam menyumbang mata bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“MFL selaku badan pengelola jelas komited untuk menyokong mana-mana kelab yang menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa malah keputusan penetapan tarikh final edisi ke-98 itu mendapat persetujuan dan sokongan baik Sri Pahang.

“Selain itu, antara faktor penting dalam pemilihan tarikh 12 April itu juga adalah ketersediaan venue Stadium Nasional Bukit Jalil yang dilihat gelanggang paling sesuai untuk menyambut kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan itu nanti.

“Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup untuk kerja-kerja penambahbaikan padang bermula selepas Piala Malaysia, menjadikan 12 April sebagai tarikh paling ideal untuk menganjurkan perlawanan akhir,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top