sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kemenangan besar 7-0 ke atas PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, 18 Mac lalu menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengatasi rekod jumlah 154 jaringan musim 2024-25 dalam semua pertandingan yang disertai.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, JDT memaklumkan skuad Harimau Selatan ketika ini sudah mengumpul 160 gol bagi musim ini.
Mesin gol mereka, Bergson Da Silva mengetuai senarai penjaring dengan meledak 31 gol, manakala Jairo Da Silva yang menyumbang 17 gol berada di kedudukan kedua.
Malah, skuad kendalian Xisco Munoz hanya memerlukan tiga lagi jaringan bagi mengatasi rekod jumlah jaringan tertinggi yang pernah dicatatkan JDT pada musim 2023.
“Menurut rekod, jumlah jaringan tertinggi yang pernah dicatatkan JDT adalah pada musim 2023 dengan 162 gol.
“JDT masih mempunyai empat perlawanan Liga Super selain aksi separuh akhir Piala Malaysia dan Kejuaraan Kelab ASEAN serta suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE),” menurut kenyataan kelab itu.
Sebagai rekod, JDT sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut selepas menewaskan kelab Brunei, DPMM FC 3-0 pada 15 Mac lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





