Pengurusan JDT memperkenalkan pelbagai kemudahan fasiliti baharu di Stadium Sultan Ibrahim menjelang saingan musim 2025/26. Foto JOHOR Southern Tigers
GERGASI Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkukuh kedudukan sebagai kelab bola sepak profesional terkemuka negara apabila memperkenalkan pelbagai kemudahan fasiliti baharu di Stadium Sultan Ibrahim, bagi menjelang saingan musim 2025/26.
Kemudahan terbaharu yang melibatkan pembinaan 12 bilik korporat eksklusif dan dua ruang hospitaliti premium ‘Red & Blue Lounge’ dijangka mula beroperasi sepenuhnya bermula 8 Ogos ini, seiring sepak mula musim baharu Liga Malaysia (Liga-M).

Kemudahan baharu menanti penyokong-penyokong JDT menjelang saingan musim 2025/26. Foto JOHOR Southern Tigers
Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif juara Liga Super 11 kali berturut-turut, untuk menaik taraf kemudahan sedia ada di ‘Home of the Southern Tigers’, selain strategi jangka panjang kelab bagi meningkatkan hasil pendapatan melalui segmen komersial dan korporat.
Setiap bilik korporat mampu memuatkan sehingga 20 tetamu pada satu-satu masa, manakala ruang ‘lounge’ pula bakal menawarkan pengalaman hospitaliti premium kepada penyokong Harimau Selatan, termasuk sajian makanan dan minuman semasa perlawanan berlangsung.
Menurut kenyataan kelab, maklumat lanjut termasuk kadar harga bagi penggunaan jangka pendek dan jangka panjang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Antara daya tarikan baharu di Home of the Southern Tigers. Foto JOHOR Southern Tigers
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT, sebelum itu meninjau sendiri kerja-kerja naik taraf berkenaan dalam satu lawatan ke Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.
Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta beberapa pegawai kanan kerajaan negeri dan pengurusan kelab.
Selain kemudahan korporat baharu, proses naik taraf turut merangkumi pembinaan padang baharu serta kerja-kerja penyelenggaraan kawasan sekitar stadium yang terletak di Iskandar Puteri itu.
JDT kendalian Xisco Munoz, akan mengemudi Harimau Selatan mengharungi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Kejuaraan Kelab ASEAN, selain Liga-M 2025/26, dijangka membuka kempen Liga Super berdepan Selangor FC dalam aksi Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Iskandar Puteri pada 8 Ogos.