Pemain sensasi JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi mengasak pertahanan TFC, Muhammad Alif Zakaria pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim – Foto Bernama
BIARPUN telah mengesahkan slot ke pentas final Piala Malaysia, namun pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) diingatkan untuk terus kekal fokus dalam usaha menjamin kejayaan pada baki saingan musim ini.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio berkata, aksi cemerlang yang dipamerkan pada saingan separuh akhir Piala Malaysia itu perlu diteruskan jika mahu melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.
“Aksi separuh akhir (Piala Malaysia) kali ini memang sukar, namun pemain telah berjaya beraksi dengan baik dan ia diharap berterusan.
“JDT merupakan pasukan yang ‘besar’ dan setiap pemain perlu terus fokus kepada diri sendiri selain terus berkembang dengan penuh dinamik dan berintensiti,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Untuk rekod, JDT mara ke pentas final Piala Malaysia setelah menang 2-1 (agregat 6-1) ke atas Terengganu FC (TFC) pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
JDT menang 4-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak 17 Januari lalu.
Dalam pada itu, Bidoglio mengakui kesebelasan JDT berdepan kesukaran pada aksi separuh akhir kedua berkenaan di sebalik bekalan selesa yang dibawa hasil aksi separuh akhir pertama.
Malah katanya, skuad kendaliannya itu turut cemas seketika hasil taktikal skuad Penyu yang dilihat mengamalkan corak serangan balas terutamanya pada aksi separuh masa kedua.
“Separuh akhir kali ini sebenarnya satu perlawanan yang amat sukar untuk dimenangi dan pada separuh masa kedua ia semakin sukar dengan serangan-serangan yang dilancarkan ke pintu gol lawan masing-masing.
“Bagaimanapun, falsafah pasukan ini adalah untuk terus mencatatkan kemenangan. Biarpun lawan memiliki ramai pemain-pemain yang bagus, namun kita akan tetap terus berkembang dan bekerja keras bagi meraih kejayaan,” katanya.