JDT rebah di laman sendiri, impian ke suku akhir ACLE lebur

JDT rebah di laman sendiri, impian ke suku akhir ACLE lebur


Pemain JDT, Bergson Da Silva (kiri) diasak oleh pemain Buriram United Fc, Goran Causic (dua, kiri) pada perlawanan kedua Pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa. Foto Bernama

HASRAT Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) lebur selepas tunduk 0-1 kepada Buriram United dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Jaringan tunggal penyerang Buriram, Suphanat Mueanta pada minit ke-58 sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat wakil Thailand itu, sekali gus menyingkirkan JDT daripada saingan.

Harimau Selatan hampir membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Bergson Da Silva, namun jaringan penyerang Brazil itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Wakil Thailand itu hampir mencipta kejutan pada minit ke-7, namun rembatan deras Guilherme Bissoli berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre.

Tuan rumah sekali lagi hampir menemui jaringan pada minit ke-28, kali ini menerusi sepakan padu Afiq Fazail, namun percubaannya sekadar melewati palang gol.

Kedua-dua pasukan terus berusaha memecah kebuntuan, namun keputusan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Buriram tampil lebih agresif dan akhirnya menemui jaringan menerusi gerakan pantas Suphanat yang memanfaatkan kelalaian pertahanan JDT untuk menewaskan penjaga gol, Zubiaurre.

Minit ke-83 JDT sekali lagi diberi tendangan percuma tetapi masih gagal membolosi gawang skuad Buriram.

Skuad kendalian Hector Bidoglio terus cuba bangkit mencari gol penyamaan hingga minit terakhir dan berjaya menjaringkan gol, namun dibatalkan kerana Jorge Obregón berada di kedudukan ofsaid.

Perlawanan ini menyaksikan disiplin tinggi pertahanan lawan yang berjaya menafikan segala usaha skuad JDT sehingga wisel penamat ditiup.

Kekalahan ini menyaksikan JDT terhenti di pusingan 16, sementara Buriram mara ke suku akhir.

Bagaimanapun, pencapaian JDT ke pusingan 16 terbaik ACLE musim ini tetap membanggakan dengan aksi bertenaga dipamerkan sepanjang perlawanan.



Source link

OR

Scroll to Top