Pemain JDT, Jorge Leonardo Obregon Rojas cuba melepasi asakan penjaga gol TFC, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. Foto Bernama
JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan slot ke final Piala Malaysia apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1, (agregat 6-1) pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Skuad Harimau Selatan itu bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengatur asakan ke gawang skuad Penyu dalam usaha membuka jaringan sekali gus melebarkan jurang kedudukan agregat.
Seawal minit ke-9, pintu gol Terengganu FC nyaris dibolosi, namun lorongan cantik Arif Aiman Mohd Hanapi gagal disempurnakan penyerang import, Jorge Obregon.
Tersentak dengan asakan berkenaan, kesebelasan pelawat dilihat mula mengatur asakan ke gawang tuan rumah dalam usaha menyamakan kedudukan.
Hasilnya, pemain pertahanan, Safwan Mazlan hampir meledak jaringan namun rembatannya tersasar.
Begitupun JDT sekali lagi hampir menjaringkan gol pada minit ke-28, namun percubaan Arif Aiman berjaya ditepis Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.
Tiga minit berselang Stadium Sultan Ibrahim akhirnya bergema dengan sorakan penyokong setia Harimau Selatan apabila Heberty menyambut baik hantaran Bergson Da Silva sebelum merembat deras menewaskan Syed Muhammad Nasrulhaq.
Ketinggalan 0-1, tidak melemahkan semangat kesebelasan TFC apabila skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu dilihat kembali mengatur asakan bagi menyamakan kedudukan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-33, namun gagal disempurnakan penyerang import, Nelson Bonilla.
Pada penghujung babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menambah gol dan menyaksikan kedudukan kekal 0-1 memihak kepada tuan rumah hingga tamat permainan.
Bersambung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin agresif melancarkan serangan ke gawang lawan masing-masing dalam usaha menambah jaringan.
Hasilnya, pemain import TFC, Ismaheel Akinade berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi rembatan deras menewaskan penjaga gol tuan rumah, Christian Abad Amat pada minit ke-59.
Ketika perlawanan seolah-olah bakal berakhir dengan kedudukan 1-1, Stadium Sultan Ibrahim sekali bergema pada masa kecederaan susulan jaringan kedua oleh Heberty sekali gus mengesahkan kemaraan skuad Harimau Selatan itu ke pentas final kali ini.