JDT, Selangor buat perhitungan Piala Sumbangsih

JDT, Selangor buat perhitungan Piala Sumbangsih


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) 2025-2026 akan membuka tirai pada 8 Ogos ini dengan perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim.

Perkembangan berkenaan diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini yang mana perlawanan itu turut dikira sebagai aksi pertama Liga Super.

Badan pengelola Liga M itu memaklumkan saingan Liga Super 2025-2026 dijangka akan berakhir pada 16 Mei 2026 iaitu kira-kira selama 10 bulan berbanding proses transisi Liga M selama 14 bulan pada musim lalu.

MFL berkata, saingan Piala FA dijadual bermula pada 15 Ogos ini manakala perlawanan akhir akan berlangsung pada 14 Disember ini.

Kejohanan berprestij Piala Malaysia pula akan membuka tirai pada 17 Januari 2026 dan kemuncak perebutan kejuaraan pada 23 Mei 2026.

Sementara itu, saingan Piala Cabaran MFL bakal bermula pada 6 Februari 2026 dengan dua aksi perlawanan akhir pada 4 April 2026 dan 18 April 2026.

“MFL kali ini mengeluarkan kalendar penuh semusim berbanding musim lalu secara berperingkat, namun MFL ingin menjelaskan bahawa kemungkinan pindaan jadual akan berlaku.

“Ia memandangkan sesi undian Kejohanan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) bakal diadakan pada 15 Ogos ini membabitkan penyertaan JDT dan Selangor FC.

“Malah dua kelab ini juga akan bertanding dalam Kejuaraan Kelab ASEAN yang mana jadual lengkap perlawanan kejohanan itu hanya dikeluarkan oleh AFF semalam, sekali gus menyukarkan MFL untuk melengkapkan kalendar Liga M lebih awal untuk dikongsikan kepada kelab dan penyokong,” jelas MFL.

Selain itu, MFL menjelaskan perancangan penjadualan kalendar Liga M 2025-2026 juga turut mengambil kira kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2025 yang membabitkan pasukan kebangsaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top