Munoz mahu kesebelasan JDT terus bersemangat.
KEMENANGAN 3-1 ke atas Lion City Sailors dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis menjadi tonik semangat buat Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi seterusnya dalam saingan kejohanan berprestij itu.
Ketua jurulatih JDT, Xesco Munoz berkata, kejayaan kesebelasan pemainnya menguasai perlawanan berintensiti tinggi itu memberikan keyakinan bahawa mereka telah bersedia untuk menghadapi cabaran lebih besar.
“Kami berjaya menjaringkan dua gol awal pada babak pertama dan kerap mendapat peluang menambah jaringan setelah mendominasi perlawanan selama 45 minit pertama,” katanya.
Tambah beliau, walaupun tempo permainan sedikit perlahan pada babak kedua, skuad Harimau Selatan masih mengekalkan dominasi menerusi corak permainan yang kompak serta transisi tersusun.
“Saya tidak pasti sama ada anda setuju atau tidak kerana penguasaan dan peluang mencipta jaringan lebih memihak kepada JDT, manakala pasukan lawan hanya bertahan di kawasan sendiri serta jarang melancarkan serangan ke benteng kami,” katanya.
Bagaimanapun, Munoz kurang senang dengan kesilapan barisan pertahanan yang membenarkan pemain gantian lawan, Shawal Anuar, meledak gol saguhati pada penghujung perlawanan.
“Ia kesilapan pertahanan yang tidak sepatutnya berlaku dan saya tidak pasti sama ada pemain lawan melakukan kesalahan atau tidak ketika dalam situasi perebutan bola. Kadangkala gol yang tidak dijangka boleh berlaku.
“Namun, ia juga menjadi proses pengajaran untuk kami dan akan memantapkan lagi konsentrasi barisan pertahanan bagi mengelak senario itu berulang. Kami tahu ia bukanlah sesuatu yang baik untuk JDT jika memberi ruang kepada pasukan lawan menjaringkan gol,” katanya.