SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal turun dengan intensiti tinggi ketika melayan kunjungan kelab China, Shanghai Shenhua, pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu, dalam usaha meraih tiga mata berharga di hadapan penyokong sendiri.
Menurut pengendali skuad Harimau Selatan, Xisco Muñoz, para pemain perlu meneruskan momentum kemenangan dalam saingan ACLE kali ini setelah menewaskan satu lagi wakil China, Chengdu Rongcheng, 2-0 pada 21 Oktober lalu.
“Ketika ini, momentum pemain berada dalam keadaan positif dan ia harus dikekalkan.
“Selain itu, karektor serta taktikal juga perlu dipertingkatkan, termasuk intensiti permainan, dan kami perlu mengelak daripada membiarkan pasukan lawan menguasai perlawanan kerana itu penting untuk meraih kemenangan.
“Aksi menentang kelab dari China ini penting, bermula seawal minit pertama dan kami tidak boleh memberi ruang kepada mereka. Walaupun kami pernah menewaskan mereka 3-0 musim lalu, saya anggap ia sebagai satu perlawanan baharu dan kami perlu tampil melebihi 100 peratus dengan aksi maksimum,” katanya.
Muñoz turut menyangkal kenyataan pengendali Shanghai Shenhua, Leonid Slutsky, yang mendakwa skuad Harimau Selatan ibarat kelab Sepanyol yang beraksi di ACLE.
“Saya menyangkal dakwaan itu kerana peraturan membenarkan pemain import beraksi di pentas elit Asia, selain kehadiran pemain kebangsaan dan import dalam pasukan.
“Apa pun, kami adalah JDT dan bukan bayangan kelab dari Sepanyol,” tegasnya.
Sementara itu, pemain pertahanan JDT, Raul Parra, akan lebih berhati-hati mengemudi benteng pertahanan bagi memastikan tiada insiden melibatkan sepakan penalti ketika menentang Shanghai Shenhua.
Bekas pemain Liga Sepanyol, Deportivo Eldense itu berkata, aksi menentang kelab dari China itu bukan sahaja membabitkan perang taktikal, malah turut melibatkan corak permainan fizikal.
“Kami akan mengekalkan intensiti permainan dan bermain secara kompak kerana saingan ACLE bukan sahaja berasaskan taktikal tetapi juga memerlukan kekuatan fizikal.
“Jadi kami perlu bertahan secara berpasukan, mengelak melakukan kesilapan, dan yang paling mustahak, daripada penjaga gol hingga ke posisi serangan, semua pemain perlu beraksi secara konsisten. Kami juga bersedia menghadapi provokasi pasukan lawan yang pasti bermain secara agresif.
“Oleh itu, kami perlu mengekalkan momentum kemenangan ke atas Chengdu Rongcheng 2-0 baru-baru ini kerana ia menyuntik keyakinan kami dalam menghadapi saingan ACLE dan beraksi sebagai satu pasukan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- JDT akan turun dengan intensiti tinggi menentang kelab China, Shanghai Shenhua di Liga Juara-Juara Asia Elit
- Xisco Muñoz menekankan kepentingan meneruskan momentum kemenangan dan meningkatkan taktikal serta intensiti permainan
- Muñoz menyangkal dakwaan pengendali Shanghai Shenhua, menganggap JDT bukan bayangan kelab dari Sepanyol
- Raul Parra akan memastikan pertahanan JDT berhati-hati untuk mengelak insiden sepakan penalti
- JDT bersedia menghadapi perlawanan yang bukan hanya berasaskan taktikal tetapi turut memerlukan kekuatan fizikal






