Pemain JDT meraikan jaringan Juan Muniz dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Foto Johor Southern Tigers
TERENGGANU FC gagal untuk mengekang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tewas 0-1 dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu.
Separuh masa pertama JDT dilihat cukup selesa mendominasi perlawanan dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi Juan Muniz pada minit ke-12.
Rembatan Muniz tersebut walaupun agak lemah, gagal diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Muhammad Rahadiazli Rahalim untuk memberikan gol pertama yang juga gol tunggal kemenangan buat pasukan pelawat.
Terengganu berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi peluang terbaik dimiliki pemain sayap, Akhyar Rashid selepas menerima hantaran Ismaheel Akinade, tetapi rembatannya pada minit ke-41 sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang JDT.
Harimau Selatan hampir menambah jaringan menerusi percubaan bintang JDT, Arif Aiman pada penghujung masa kecederaan separuh masa pertama, namun kali ini Rahadiazli bertindak cemerlang untuk menafikan jaringan tersebut.
JDT terus menguasai perlawanan pada separuh masa kedua dan Terengganu juga mempunyai beberapa peluang menarik terutama rembatan dari luar kotak penalti oleh Nurillo Tukhtasinov yang menggegar palang gol.
Tuan rumah turut berjaya bertahan dengan baik dan mengekang gerakan diatur oleh JDT yang cuba menambah jaringan sehingga perlawanan tamat.
Skuad kendalian Hector Bidoglio itu terus gah di puncak Liga Super dengan 52 mata hasil 17 kemenangan dan satu seri manakala Terengganu pula berada di kedudukan keempat dengan 24 mata.