JDT tunggu detik ukir nama dalam sejarah bola sepak dunia

JDT tunggu detik ukir nama dalam sejarah bola sepak dunia


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dominasi luar biasa Johor Darul Ta’zim (JDT) kini bukan lagi sekadar bualan tempatan, sebaliknya mula menggegarkan pentas antarabangsa apabila kejayaan mereka mencuri perhatian media dunia.

Di bawah sentuhan Tunku Mahkota Ismail, Harimau Selatan dilihat sebagai simbol kebangkitan sebuah kelab moden yang dibina dengan visi jelas dan hala tuju tersusun.

Apa yang lebih mencuri tumpuan, JDT kini berada di ambang mencipta sejarah apabila semakin hampir memecahkan rekod dunia tanpa kalah dalam saingan liga.

Setakat ini, skuad dari selatan tanah air itu sudah mengharungi 104 perlawanan liga tanpa tewas, sekali gus menyamai rekod milik Steaua Bucharest.

Lebih mengujakan, mereka kini hanya dibezakan beberapa langkah untuk memintas rekod 108 perlawanan tanpa kalah yang dipegang ASEC Mimosas.

Pencapaian luar biasa itu bukan sahaja meletakkan JDT di peta bola sepak Asia, malah mula membuka mata pemerhati di seluruh dunia.

Media antarabangsa turut menyorot perjalanan panjang kelab itu yang bermula sebagai pasukan kecil sebelum muncul sebagai kuasa dominan.

Transformasi dilakukan bukan sekadar di atas padang, malah membabitkan pembangunan fasiliti bertaraf dunia dan infrastruktur moden.

Selain itu, sistem akademi yang tersusun serta pengurusan profesional menjadi antara kunci utama kejayaan berterusan mereka.

Kejayaan di pentas Asia turut menguatkan lagi reputasi JDT sebagai kelab elit rantau ini.

Harimau Selatan sebelum ini berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), sekali gus membuktikan kemampuan mereka bersaing dengan gergasi Asia.

Kini, dengan rekod tanpa kalah yang semakin menghampiri angka keramat, JDT hanya menunggu detik untuk mengukir nama dalam sejarah bola sepak dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top