JEMAAH yang menunaikan ibadah haji dan umrah perlu bersedia dari segi jiwa dan raga kerana perjalanan menuju ke Tanah Suci bukan sekadar pengembaraan biasa, malah penuh dengan ujian dan pengorbanan. FOTO SINAR HARIAN/NUR FARHANA ABDUL MANAN
SETIAP jemaah yang berhajat menunaikan ibadah haji dan umrah perlu bersedia dari segi jiwa dan raga kerana perjalanan menuju ke Tanah Suci bukan sekadar pengembaraan biasa, malah penuh dengan ujian dan pengorbanan.
Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci, Kamarudin Abd Hamid berkata, kisah Rasulullah SAW sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah boleh dijadikan teladan, khususnya apabila Baginda sampai di Quba dan membina masjid pertama untuk solat.
“Perjalanan Nabi penuh dengan cabaran. Sebab itu, bila kita nak mengerjakan haji atau umrah, perlu ada pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit.
“Persiapan dan persediaan mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

KAMARUDIN
Menurut beliau, Masjid Quba menjadi simbolik kepada perjalanan jauh jemaah yang memerlukan ketabahan, sama seperti hijrah Rasulullah SAW.
“Ketika Nabi sampai ke Quba, perkara pertama yang Baginda lakukan ialah mendirikan masjid dan mendirikan solat. Ini seolah-olah satu isyarat penting, bahawa dalam perjalanan kita yang jauh ini, tanda syukur dan tempat kita mengadu tetap kepada ALLAH melalui solat,” katanya.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata solat bukan sekadar ibadah rutin, malah menjadi sumber ketenangan selepas berdepan kepayahan.
“Solat adalah rehat sebenar jiwa dan hati selepas kelelahan perjalanan jauh,” jelas beliau.

SEMUA yang berlaku itu adalah dalam ketentuan ALLAH SWT, dengan hikmah yang tersirat mengajar umat Islam supaya bersifat sabar dan bersyukur. FOTO SINAR HARIAN/NUR FARHANA ABDUL MANAN
Tambah Kamarudin, seperti juga dalam perjalanan haji dan umrah, jemaah pasti melalui ujian yang tidak diduga.
Katanya, namun semua yang berlaku itu adalah dalam ketentuan ALLAH SWT, dengan hikmah yang tersirat mengajar umat Islam supaya bersifat sabar dan bersyukur.
“Apabila kita hadapi pelbagai ujian sepanjang perjalanan ini, ingatlah semuanya untuk mendidik kita lebih dekat kepada ALLAH, membina kesabaran dan memupuk kesyukuran,” katanya.