Jenazah anak kepada pelakon, Amyza Aznan iaitu Allahyarham Andre Mikhail, 23, telah selamat dikebumikan pada jam 10.40 pagi, Selasa, di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang, Selangor.
Jenazah anak selamat dikebumikan

Memetik laporan Gempak, proses pengebumian Allahyarham berlangsung dengan tertib dan lancar, dihadiri sekitar 300 individu terdiri daripada ahli keluarga, kenalan rapat serta rakan-rakan selebriti.
Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila aktres itu dilihat memberikan penghormatan terakhir kepada anak sulungnya itu.
Dapat dilihat antara rakan artis yang hadir memberikan penghormatan termasuk Datin Sri Umie Aida, Datuk Fizz Fairuz, Didie Alias, Fauziah Nawi, Lisdawati, Ieda Moin, Norman Hakim dan Zed Zaidi, dan ramai lagi.

Artikel lain: Suami Amyza Aznan reda dengan pemergian anak – “Dia pergi di bulan Ramadan, itu menguatkan saya”
Terdahulu, Andre Mikhail dilaporkan meninggal dunia selepas hampir setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga. Berita pemergian Allahyarham dikongsikan sendiri oleh Amyza menerusi kemas kini di Instagram Stories pada Isnin.
Untuk rekod, pada Februari tahun lalu, Amyza pernah memaklumkan bahawa Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga. Setahun kemudian, aktres itu sekali lagi diuji apabila anak keduanya, Adrian Adam, 18, turut disahkan menghidap kanser tulang. Perkhabaran tersebut dikongsikan di media sosial sehingga mengejutkan ramai pihak.
Sumber: Gempak (Amirul Ilyasha)





