Jenazah bekas penjaga gol Pulau Pinang selamat dikebumikan

Jenazah bekas penjaga gol Pulau Pinang selamat dikebumikan


JENAZAH bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohamed yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Sabtu telah selamat dikebumikan.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini kira-kira jam 4 petang pada Ahad.

Terdahulu jenazah Allahyarham diuruskan dan disembahyangkan di Surau Kampung Melayu, Ayer Itam sebelum dibawa ke Teluk Kumbar.

Suasana pilu menyelubungi pengebumian Allahyarham yang diiringi kira-kira 100 ahli keluarga, sahabat-handai serta bekas rakan sepasukan yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bintang sukan itu.

Jenazah Firos diuruskan dan disembahyangkan di Surau Kampung Melayu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Teluk Kumbar kira-kira jam 4 petang pada Ahad.

Rakan sepasukannya, Mohamad Azmi Ali, 57, berkata, dia mengenali Allahyarham sejak zaman bujang ketika bermain dalam pasukan Piala Presiden Pulau Pinang.

“Saya main posisi pertahanan, arwah sebagai penjaga gol, jadi memang kami selalu berinteraksi ketika bermain.

“Masa kejohanan semalam saya jadi pengurus pasukan. Arwah ada mengadu letih, tapi semangat dia tetap kuat untuk turun bermain menentang Kedah,” katanya ketika ditemui pemberita di Bayan Lepas, pada Ahad.

Mohamad Azmi berkata, ketika perlawanan berlangsung, pasukan Pulau Pinang sedang ketinggalan 1-0 dan Allahyarham rebah ketika pasukan Pulau Pinang sedang melakukan serangan ke kawasan lawan.

Katanya, tumpuan semua beralih ke arah gawang gol Pulau Pinang selepas arwah tiba-tiba rebah.

“Dia main macam biasa, masih bergurau dan berbual dengan rakan-rakan. Arwah memang tiada sejarah sakit jantung.

“Tapi dalam dua minit sebelum perlawanan tamat, dia tiba-tiba rebah,” katanya sebak.

Tambahnya, usaha menyelamat telah dilakukan segera termasuk bantuan pernafasan (CPR) dan penggunaan alat kejutan jantung automatik (AED), namun Firos masih tidak sedarkan diri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Pemain Pulau Pinang, Radzuan Putah, 60, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemain yang berbakat besar dan banyak menyumbang kepada pembangunan bola sepak negeri.

Beliau berkata, Allahyarham sangat berdedikasi, bukan saja sebagai pemain, tapi juga sebagai jurulatih.

“Allahyarham yang bersara daripada skuad utama Pulau Pinang pada tahun 1998 dan sejak itu beliau menjadi jurulatih di Akademi Pulau Pinang bagi melatih bakat baharu.

“Arwah juga merupakan antara pemain yang pernah terpilih menyertai Projek Barcelona pada era 1980-an,” katanya lagi.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Fildaanis Mat, 51, memaklumkan sebelum kejadian arwah beritahu yang dia tidak mahu bermain kerana mahu memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi.

Namun katanya, arwah tetap turun ke padang bersama pasukan bagi menjayakan perlawanan persahabatan yang berlangsung.

“Memang arwah tak ada tunjukkan tanda apa-apa, cuma minggu lepas dia demam dan kelihatan agak letih dalam mempersiapkan pasukan untuk kejohanan ini.

“Walaupun masih sedih dan terkejut dengan pemergian Allahyarham namun kami semua tetap reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top