am@hmetro.com.my
Yan: Jenazah dua kanak-kanak lelaki yang maut selepas basikal mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Sedaka Tengah, di sini hari ini selamat dikebumikan jam 10 malam tadi.
Terdahulu, jenazah Muhammad Izhar Adnan, 10, dan rakannya, Muhammad Zaid Haris Abdullah, 11, dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar selepas proses bedah siasat selesai dilakukan.
Jenazah kedua-dua rakan karib itu dibawa ke Masjid Jamek Simpang 4 Sedaka untuk disolatkan dan diimamkan oleh Adun Sungai Limau, Datuk Mohd Azam Abd Samat yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah.
Jenazah mereka selamat dikebumikan dalam satu liang di tanah perkuburan masjid berkenaan.
Hampir 100 orang termasuk kenalan dan ahli keluarga hadir untuk menyaksikan pengebumian murid tahun empat dan lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sedaka itu,
Media sebelum ini melaporkan, dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 10 dan 11 tahun maut selepas basikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Sedaka Tengah, kira-kira jam 9.15 pagi tadi.
Berikutan itu, polis menahan pemandu kereta Honda City berusia 33 tahun itu untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook (FB) Masjid Sedaka memuji amalan kedua-dua arwah kanak-kanak itu yang sentiasa rajin membantu membersihkan masjid setiap hari Jumaat selain menunaikan solat berjemaah di masjid berkenaan.
“Adik izhar selalu baca surah Al-Mulk selepas selesai solat Isyak setiap malam dan rajin melaungkan azan solat lima waktu.
“Pengakhiran yang baik buat 2 adik ni, mudah-mudahan ditempatkan di dalam Syurga..,” menurut hantaran FB itu lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd






