am@hmetro.com.my
Pasir Mas: “Allah makbulkan doa di setiap solat saya dan Alhamdulillah akhirnya anak kesayangan saya, Istiqomah, ditemukan dan selamat dikebumikan,” luah Ahmad Rozi Latimin, 64.
Ahmad Rozi ditemui selesai jenazah arwah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pangkalan Merlong/Mengelong, di sini, 11.52 malam.
Katanya, dia dan isteri, Saliha Ya, 56, bersyukur dan sangat lega urusan pengebumian arwah selesai, namun mengakui pasti merindui anak sulung mereka itu.
“Selama lapan bulan, di setiap solat saya titipkan doa semoga dia ditemui tidak kira dalam keadaan macam mana sekalipun, Alhamdulillah, doa saya diangkat dan kami menemukan jasadnya walaupun tidak sempurna.
“Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada Disember tahun lalu sebelum dia dilaporkan hilang kerana kami mengadakan hari keluarga. Tidak sangka itu adalah pertemuan terakhir sebelum Istiqomah diambil buat selama-lamanya.
“Saya reda dengan apa yang jadi kerana Allah dan tulis perjalanannya begini, namun dalam masa sama berharap supaya pelaku diambil tindakan sewajarnya atas apa yang dilakukan,” katanya ketika ditemui ketika upacara pengebumian itu, tadi.
Hampir 400 ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai hadir di tanah perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah.
Ahmad Rozi kelihatan sugul dan penat memandangkan beliau juga baru sahaja sampai selepas turut sama menuntut jenazah di Unit Forensik Hospital Melaka petang tadi.
“Saya sangat penat tetapi lega dan berbaloi kerana dapat menguruskan pengebumian anak saya. Malah, perjalanan dari Melaka ke Kelantan tadi penuh dengan suasana hiba dan sayu.
“Insya-Allah, saya akan memberi sepenuh kasih sayang kepada anak arwah dan berdoa semoga menantu (Mohd Yusof Mokhtar, 35) terus tabah,” kata Ahmad Rozi.
© New Straits Times Press (M) Bhd