Jenazah Kevin Nunis selamat dikebumikan

Jenazah Kevin Nunis selamat dikebumikan


Ahli keluarga menyiram air pada pusara Muhammad Khairy Nunis selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Sinar Segambut pada Ahad. Foto Bernama

JENAZAH bekas pemain hoki dan Olimpian, Muhammad Khairy Nunis Abdullah atau Kevin Christopher Nunis selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Sinar di sini pada jam 10.45 pagi Ahad.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Surau Silaturrahim, Taman Segambut SSPK di sini untuk disolatkan yang disertai ahli keluarga, bekas rakan sepasukan, sahabat handai serta orang ramai.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Wakil kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham.

Allahyarham, 65, meninggalkan seorang balu, Rahimah Awang Mohd dan tiga orang anak.

Sementara itu, Subahan ketika ditemui Bernama berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga sukan hoki negara.

“Jasa Allahyarham kepada sukan hoki Malaysia terlalu banyak bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga banyak menyumbang kepada pembangunan sukan itu apabila menjadi jurulatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP),” katanya.

Semalam, Muhammad Khairy Nunis menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 6.45 petang selepas beberapa bulan dirawat akibat jangkitan kuman dalam darah.

Untuk rekod, Allahyarham yang merupakan anak jati Negeri Sembilan adalah antara pemain utama skuad hoki kebangsaan era 1980-an dan pernah mewakili negara di Sukan Olimpik Los Angeles 1984.

Muhammad Khairy Nunis juga meninggalkan impak besar dalam dua edisi Sukan Asia iaitu di New Delhi 1982 dan Seoul 1986, selain tiga kali tampil di Sukan SEA – Singapura 1983, Jakarta 1987 dan Kuala Lumpur 1989. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top