am@hmetro.com.my
Jasin: Jenazah lima beranak, mangsa kebakaran rumah sewa di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Haji Johari Bakar, di sini, 10.45 malam tadi.
Jenazah Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, empat tahun, disemadikan dalam satu liang lahad.
Terdahulu, semua jenazah dimandi dan dikapankan di Hospital Jasin sebelum dibawa ke Masjid Baitulrahman Kampung Enam untuk solat jenazah.
Jenazah dibawa dengan menaiki lima van jenazah dan tiba di masjid pada 8 malam sebelum disembahyangkan oleh kira-kira 500 orang dan diimamkan Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil, selepas solat Isyak, pada 9.10 malam.
Kira-kira 1,000 hadir pada pengebumian itu termasuk ahli keluarga, saudara-mara, sahabat, serta penduduk kampung yang memenuhi kawasan kubur, termasuk ada yang berdiri di luar pagar.
Suami mangsa, Muhammad Khairuddin Saari, 35, yang cedera dalam kejadian itu turut hadir dan terpaksa dipapah oleh ahli keluarga.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Laila Fathinah yang mengandung lima bulan dan empat anaknya ditemui rentung oleh anggota bomba selepas operasi pemadaman selesai.
© New Straits Times Press (M) Bhd