Jenazah pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan meninggal dunia di Jeddah, Arab Saudi akan dikebumikan di sana.
Memetik laporan Kosmo, perkara itu dimaklumkan rakan perniagaan keluarga, Jasmin Hajar, selepas menerima pengesahan daripada suami Nadia, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah yang memaklumkan berita tersebut selepas dihubungi pihak Wisma Putra.
ARTIKEL BERKAITAN:Nadia Kesuma Meninggal Dunia Di Jeddah, Suami & Anak Kongsi Khabar Duka
Menurut Jasmin, hasrat untuk dikebumikan di Jeddah selari dengan impian Nadia yang sering menyatakan keinginannya untuk berada di sana.

Dalam masa sama, Jasmin memaklumkan Dr Muhammad Kamarul akan berangkat ke Jeddah bersama anak perempuan Nadia pada pagi ini, manakala jenazah kini ditempatkan di Hospital King Fahad.
Terdahulu, Dr Muhammad Kamarul menzahirkan rasa dukacita menerusi perkongsian khabar di Facebook dengan memaklumkan pemergian isteri tercintanya ke negara abadi.

Sebelum ini, berita kehilangan Nadia heboh diperkatakan orang ramai dan menjadi sorotan warganet.
Kehilangan Nadia ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dilaporkan kepada polis Arab Saudi dan pihak Malaysia memaklumkan siasatan sedang dijalankan.






