Jenazah Pak Lan selamat dikebumikan, rakan artis anggap satu kehilangan

Jenazah Pak Lan selamat dikebumikan, rakan artis anggap satu kehilangan


Alor Gajah: Jenazah pelakon veteran Roslan Saleh, 69, yang menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah pada 3.15 petang ini.

Terdahulu, jenazah Roslan atau mesra disapa sebagai Pak Lan dibawa ke Masjid Ar Rahman Kampung Rantau Panjang untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan bagi pengebumian dengan dihadiri lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara, kenalan dan rakan artis.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi Zack Kool atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamad berkata beliau memang mengetahui keadaan Roslan yang terlantar sakit akibat kencing manis dan kehilangan penglihatan, serta pernah menghulurkan bantuan sewaktu menjadi Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dahulu.

“Memang sedih atas kehilangan ini dan sepanjang mengenalinya, arwah bukan seorang yang sombong. Memang muka dia nampak ganas tetapi hatinya baik. Saya ingat arwah sebab senyuman dia dan sedia memberi nasihat serta berkongsi mengenai lakonan dan kehidupan.

“Arwah kalau beri nasihat pun, dalam keadaan gelak-gelak sebab dia suka berseloroh. Jadi kalau kita alert (peka), kita dapatlah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau, Masjid Tanah di sini hari ini.

Zack berkata walaupun dalam keadaan tidak dapat melihat, arwah masih mampu bergurau dan antara kenangan terakhir adalah sewaktu memberi arwah hadiah ketika menziarahinya tidak lama dahulu.

“Arwah tanya apa ni dik… saya jawab kertas bang, dan tak tahulah sama ada berharga buat abang atau tidak. Kemudian dia gelak. Itulah kenangan dan memang dia peramah,” katanya.

Sementara itu, artis veteran Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah berkata perkenalannya dengan Roslan sudah mencecah hampir 40 tahun dan mereka sangat rapat, malah telah menjadi sebahagian daripada keluarganya.

“Saya kenal masa Roslan baru berkahwin dan masih lagi menjadi guru. Kemudian arwah berhenti jadi guru dan terlibat dalam produksi, dan kami rapat sampailah sekarang. Kami dah macam adik-beradik. Dia panggil saya kakak.

“Masa dia sakit, saya selalu juga datang dengan anak ke Melaka untuk ziarah, dan bila dengar berita (meninggal) terkejut jugalah tapi dah tahu dia sakit dah lama, jadi saya bersyukur dia (pergi) pada hari yang baik,” katanya.

Terdahulu, Roslan menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah di sini kira-kira 7 pagi tadi akibat komplikasi pelbagai penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah rendah yang dialami sejak lima tahun lepas.

Arwah yang mempunyai empat anak dan 10 cucu sering keluar masuk hospital disebabkan penyakit itu dan menurut isterinya Zainun Majid, arwah meninggal dunia dalam tidur.

Sepanjang tiga dekad dalam dunia seni, Roslan pernah membintangi banyak drama dan filem popular antaranya Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2 dan Anak Perjanjian Syaitan, manakala Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda adalah filem terakhir lakonannya,

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top