hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kajang: Jenazah pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurhazwani Abd Halim yang lemas ketika mandi bersama suaminya di kolam sebuah hotel di Terengganu, semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas), di sini, malam ini.
Allahyarhamah Nurhazwani, 34, yang juga pensyarah UiTM cawangan Pahang dan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Datuk Abd Halim Jusoh disahkan lemas ketika mandi di kolam sebuah hotel dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu.
Van yang membawa jenazah Allahyarhamah Nurhazwani tiba di tanah perkuburan berkenaan kira-kira jam 9.38 malam dan urusan pengebumian selesai sepenuhnya pada 10.20 malam.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila ahli keluarga, kenalan, penduduk dan beberapa pelajar Allahyarhamah Nurhazwani hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah.
Terdahulu, jenazah yang tiba dari Kemaman, Terengganu di bawa ke Masjid Al-Hasanah, Bangi untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Sementara itu, bekas pelajarnya, Harith Amirul Asmadi, 27, berkata, arwah Nurhazwani disifatkan sebagai seorang pensyarah yang sangat baik, pemurah dan tidak pernah marah sebaliknya akan memberi teguran dengan lembut dan profesional.
Dia yang juga guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Ampang berkata, dia sempat menimba ilmu dengan arwah selama dua semester ketika belajar di Kolej Universiti Poly-Tech Mara pada 2017.
“Arwah antara pensyarah yang baik dan selalu belanja kami makan. Arwah juga selalu beri semangat dan motivasi supaya kami tidak mudah berputus ada ketika menjadi pelajarnya dahulu, malah arwah antara idola saya untuk menjadi seorang pendidik.
“Kami sudah lama tak bertemu selepas saya tamat belajar hanya bertanya khabar melalui WhatsApp saja dan saya dapat tahu berita pemergian arwah daripada hantaran rakan di Instagram,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, pensyarah berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh suaminya dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd