Jentera Pertama F1 Ayrton Senna Dilelong. Jutawan Dijemput Beli

Jentera Pertama F1 Ayrton Senna Dilelong. Jutawan Dijemput Beli


Adalah sangat sukar untuk menandingi legasi Ayrton Senna dalam dunia Formula 1. Sepanjang kariernya, beliau meraih 65 kedudukan pertama untuk memulakan perlumbaan, 41 kemenangan Grand Prix dan tiga kejuaraan dunia yang dicapai sebelum lagenda ini mati secara tragis pada usia 34 tahun.

Namun, apa yang benar-benar membezakan Ayrton Senna bukan sekadar angka, tetapi cara pemanduannya yang agresif, tepat dan penuh emosi di atas litar. Malah ketika zaman tersebut, sistem elektronik tidak digunakan dengan meluas menyebab Senna menggunakan kemahiran berbeza ketika mengambil selekoh

Gaya Senna termasuklah menekan pedal minyak dengan agresif di tengah-tengah selekoh, yang menyebabkan jentera hilang keseimbangan. Tapi Senna mempraktikkan teknik ini untuk memudahkan jentera F1 miliknya mengalami oversteer bagi menambah kelajuan.

Kin, peminat sukan permotoran F1 berpeluang memiliki sebahagian daripada sejarah itu apabila jentera Formula 1 pertama yang dipandu Senna akan dilelong. Kereta tersebut ialah Toleman TG183B dengan casis bernombor 05, sebuah jentera penting yang menandakan permulaan karier F1 beliau pada musim 1984.

Model ini dibina pada penghujung tahun 1983 ketika pasukan Toleman sedang menyiapkan jentera baharu mereka, TG184. Disebabkan kelewatan pembangunan, Senna memulakan musim debutnya dengan versi lama ini.

Walaupun begitu, jentera TG183B bukanlah kereta lumba F1 yang biasa. Sebaliknya ia direka oleh jurutera terkenal Rory Byrne dan John Gentry, lengkap dengan intercooler hadapan yang unik serta konfigurasi sayap belakang berkembar.

Di bahagian enjin, ia menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder turbo yang dihasilkan daripada Hart. Enjin ini mampu menghasilkan sekitar 800 kuasa kuda dalam mod kelayakan. Untuk era 1980-an, angka itu memang brutal dan memerlukan kemahiran tinggi untuk menjinakkan kuasa enjin ini.

Debut pertama Senna di Grand Prix Brazil 1984 bermula sederhana apabila beliau hanya layak di kedudukan ke-16 dan perlumbaannya berakhir awal akibat kegagalan turbo. Namun, potensi luar biasanya mula terserlah tidak lama selepas itu. Dalam perlumbaan seterusnya di Afrika Selatan, beliau berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keenam dan mengutip mata pertamanya dalam Formula 1.

Casis nombor 05 ini kemudiannya digunakan dalam beberapa perlumbaan awal musim tersebut sebelum dipencenkan. Menariknya, walaupun sudah lama tidak digunakan secara aktif, kereta ini masih berada dalam keadaan boleh beroperasi. Ia dilengkapi enjin Hart yang original, serta gearbox dan turbo yang telah dibina semula baru-baru ini.

Dari segi nilai, jentera ini dijangka mencecah harga antara sekitar USD $3.2 juta hingga $4.3 juta (lebih kurang RM15 juta hingga RM20 juta) apabila dilelong oleh RM Sotheby’s di Monaco.

Ringkasnya, ini bukan sekadar sebuah kereta lama Formula 1. Ini adalah titik permulaan kepada salah seorang legenda terbesar dalam sejarah sukan permotoran, iaitu sebuah mesin yang menjadi saksi kelahiran fenomena bernama Ayrton Senna.






Source link

OR

Scroll to Top