Jerman mahu kembali tawan Piala Dunia 2026

Jerman mahu kembali tawan Piala Dunia 2026


Nagelsmann tekad membawa Jerman lebih garang kempen kelayakan kali ini. – Foto: Agensi

JUARA empat kali, Jerman meletakkan sasaran jelas untuk menawan Piala Dunia 2026 apabila memulakan aksi kelayakan Kumpulan A menentang Slovakia di Tehelne Pole.

Skuad kendalian Julian Nagelsmann itu akan membuka tirai kempen di Bratislava sebelum menerima kunjungan Ireland Utara pada 8 September di Cologne.

Menurut Nagelsmann, kejayaan tidak akan hadir tanpa sasaran yang jelas, justeru beliau mahu anak buahnya bermula garang dalam misi melayakkan diri ke temasya yang bakal dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico tahun depan.

“Sangat penting untuk menetapkan hala tuju jelas. Sukar untuk mana-mana pasukan atau individu menjalani kehidupan tanpa tujuan yang ingin diperjuangkan.

“Saya yakin 100 peratus semua pemain mempunyai impian sama iaitu mahu menjulang Piala Dunia. Jika tidak, mereka tidak perlu bersama skuad ini,” katanya.

Jerman bagaimanapun sedar laluan mereka tidak semudah disangka selepas dikecewakan di peringkat kumpulan dua edisi terakhir Piala Dunia, selain tersingkir di suku akhir Euro 2024, kejohanan sulung Nagelsmann sebagai pengendali.

Lebih merisaukan, skuad Die Mannschaft turut tewas dalam dua perlawanan terakhir Piala Negara-Negara UEFA pada Jun lalu kepada Portugal dan Perancis, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong sendiri.

Namun, dengan Luxembourg turut menghuni Kumpulan A, Jerman kekal sebagai pilihan utama untuk mara ke pusingan akhir temasya yang dijadualkan berlangsung di Amerika Utara tersebut.

“Kami perlu fokus pada proses sehingga tiba ke tahap itu, pada setiap perlawanan. Yang penting ialah rentak pasukan kembali stabil selepas beberapa kekalahan.

“Tiada ruang untuk keraguan kerana sasaran kami besar mesti menang perlawanan dan layak,” tegas Nagelsmann.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top