Jersi no 8 JDT kini milik Hevel

Jersi no 8 JDT kini milik Hevel


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tonggak tengah warisan Malaysia, Hector Hevel kini sah menyarung jersi nombor 8 Johor Darul Ta’zim (JDT), satu angka keramat yang pernah menjadi milik legenda Harimau Selatan, Safiq Rahim.

Langkah ini dianggap simbolik apabila JDT bukan sekadar menandatangani pemain, namun ‘menyerahkan baton’ kepada watak baharu bagi mengemudi jentera tengah pasukan paling dominan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) itu.

Pengumuman rasmi kehadiran Hevel dibuat menerusi laman sosial Johor Southern Tigers, semalam hanya beberapa jam selepas perkenalan pemain warisan lain, Jon Irazabal diumumkan kepada penyokong.

Hevel, 29, yang juga pemain kacukan Belanda-Malaysia meluahkan rasa bangga dapat menyertai JDT sambil menyifatkan pasukan itu sebagai kelab yang luar biasa dan bersedia mencipta kenangan baharu.

“Amat gembira dapat menandatangani kontrak dengan kelab hebat ini. Ayuh jadikan ia satu episod yang tidak akan dilupakan,” tulisnya ringkas, tetapi penuh makna di Instagram.

Di peringkat antarabangsa, Hevel sudah mula mencuri perhatian apabila meledak gol pada penampilan sulungnya bersama Harimau Malaya ketika menewaskan Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia, 25 Mac lalu.

Paling mencuri tumpuan, dia menjadi antara arkitek kemenangan dramatik Malaysia 4-0 ke atas Vietnam di Bukit Jalil dalam aksi kelayakan kedua yang membuka mata rantau ASEAN, 10 Jun lalu.

Sentuhan kreatif dan visi permainan Hevel dilihat seiring dengan DNA bola sepak yang dibawa JDT membabitkan kawalan tempo, hantaran tajam dan kemampuan mencorak serangan dari tengah padang.

Dengan penyertaan ini, Hevel secara automatik menjadi antara watak utama dalam misi mempertahankan dominasi domestik serta menghadapi cabaran Asia musim depan.

Kini jersi nombor 8 kembali bersinar bukan lagi milik Safiq, tetapi di bawah kendalian Hevel yang bersedia mengukir bab baharu bersama Harimau Selatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top