Jersi rekaan moden suntik semangat Penang FC harungi musim baharu

Jersi rekaan moden suntik semangat Penang FC harungi musim baharu


GEORGE TOWN : Reka bentuk ‘camouflage pixel’ yang moden dengan menjadikan biru muda, kuning dan putih sebagai warna latar dipilih sebagai jersi utama Penang FC untuk tampil lebih bersemangat dan meyakinkan musim ini.

Dihasilkan oleh Kaki Jersi iaitu anak syarikat Kumpulan Kopa, jersi tersebut diinspirasikan hasil daripada cetusan idea oleh Pengerusi Penang FC sendiri iaitu Daniel Gooi Zi Sen.

Pengurus Kaki Jersi Wilayah Utara, Muhammad Mustafa Al-Bakri Arifin berkata, pihaknya mengambil masa antara lima hingga ke enam bulan untuk menterjemahkan idea tersebut ke dalam bentuk jersi yang serba moden dan berkualiti.

Katanya, ini tahun ketiga Kaki Jersi menghasilkan jersi untuk Penang FC dan buat permulaan, sebanyak 1,200 helai jersi telah dikeluarkan untuk dijual.

“Kita buat pelancaran jersi ini pada hari Rabu dan pada hari Khamis, kita mula jual secara dalam talian. Petang ini pula (Jumaat) merupakan hari pertama kita jual jersi ini secara terbuka.

“Alhamdulillah, setakat ini, hampir 500 helai telah terjual dan kita hanya jual jersi yang dikategorikan sebagai ‘player issue’ pada harga RM139 sehelai,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis memperkenalkan jersi baharu Penang FC bagi musim 2025/2026 yang turut dihadiri oleh jurulatih serta pemain-pemain skuad Harimau Kumbang di Kopa Arena USM, petang tadi.

Selain menggunakan jersi tersebut sebagai ‘home jersey’ atau jersi tuan rumah, Penang FC juga akan menggunakan jersi biru gelap yang dicampur dengan warna hitam sebagai jersi kedua atau ‘away jersey’.

Dalam pada itu, Muhammad Mustafa Al-Bakri memberitahu, penggunaan material unik untuk menghasilkan jersi berkenaan menyukarkan ia untuk diciplak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“kita ada buat R&D (penyelidikan dan pembangunan) sendiri dan kita juga ada bincang dengan para ‘designer’ (pereka) untuk menghasilkan rekaan jersi ini. Jadi, material yang digunakan itu memang main perananlah,” ujarnya.

Tambahnya, jersi tersebut kini boleh didapati secara dalam talian menerusi laman sesawang kakijersi.com, platform perniagaan digital seperti TikTok atau Shopee selain dijual di Kopa Arena USM dan sebagainya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top