Amerika Syarikat: Juruterbang jet peribadi milik vokalis kumpulan Motley Crue, Vince Neil terbunuh selepas tersasar dari landasan ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Scottdale, Arizona, Amerika Syarikat.
Bukan hanya tersasar, jet peribadi Neil turut melanggar sebuah pesawat lain hingga menyebabkan beberapa penumpang mengalami kecederaan dan perlu dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Neil, 64, bagaimanapun dilaporkan tidak mengikuti penerbangan itu yang mengakibatkan kekasihnya, Andreani, 43, mengalami kecederaan bersama seorang lagi rakan wanita.
Insiden itu disahkan berlaku oleh jurucakap band Motley Crue menerusi hantaran yang dibuat di platform X, semalam.
“Jet peribadi milik Vince Neil terbabit dalam kemalangan di Lapangan Terbang Scottdale. Juruterbangnya meninggal dunia.
“Manakala, pembantu juruterbang dan penumpang lain sudah dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan. Bagaimanapun, Neil tidak berada dalam jet itu.
“Cuma, kekasihnya dan seorang rakan turut mengalami kecederaan. Jadi, kami sangat berdukacita dengan apa yang berlaku dan berharap semua yang tercedera akan segera sembuh,” tulisnya.
Pihak band Motley Crue turut berjanji akan memberi bantuan sepenuhnya kepada mangsa kemalangan yang tercedera.
Band Motley Crue pastinya cukup mengenali peminatnya dengan lagu-lagu dinyanyikan Neil seperti Home Sweet Home, Without You, Wild Side dan banyak lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd