Jihad Raja Haji Fisabilillah melawan Belanda

Jihad Raja Haji Fisabilillah melawan Belanda


DALAM masyarakat kita, nama Raja Ali Haji sering disebut sebagai tokoh bahasa dan kesusasteraan Melayu terkenal serta pengarang kitab Tuhfat an-Nafis.

Namun, nama Raja Haji yang juga nenda kepada Raja Ali Haji mungkin kurang dikenali dan jarang diperkatakan. Hakikatnya, beliau bukan calang-calang tokoh.

Sumbangan terbesar beliau adalah berjihad menentang Belanda hingga digelar Raja Haji Fisabilillah. Bahkan, ulama tersohor, Wan Mohd Shaghir Abdullah yang banyak menghasilkan karya jawi, menyanjung beliau sebagai pejuang Melayu terhebat selepas Laksamana Hang Tuah.

Jika kerajaan Aceh berperang dengan Portugis di Melaka demi mengembalikan kedaulatan Islam, maka orang Melayu juga memiliki wira yang bangkit menentang Belanda iaitu Raja Haji Fisabilillah.

ILUSTRASI RAJA HAJI FISABILILLAH -Foto: WIKIPEDIA.ORG

Tokoh Bugis disegani

Mungkin ramai masih mengingati kisah lima bersaudara Bugis yang datang ke dunia Melayu. Orang Eropah mengenali mereka sebagai lanun kerana sering merampas dagangan kapal yang melalui perairan Selat Melaka.

Lima Bugis bersaudara itu ialah Daeng Celak, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Perani dan Daeng Kemasi. Mereka berasal dari Makassar dan berkhidmat dengan sultan-sultan Melayu kerana terkenal dengan keberanian serta kepakaran bermain senjata.

Raja Haji ialah putera kepada salah seorang daripada lima bersaudara itu iaitu Raja Opu Daeng Celak.

Penglibatan awal Raja Haji Fisabilillah menentang Belanda bermula seawal Perang Linggi pada tahun 1757. Beliau bersama sepupunya, Daeng Kemboja (anak Daeng Perani) memimpin satu pasukan menentang Belanda setelah Linggi, kawasan kekuasaan Daeng Kemboja, diserahkan kepada pihak penjajah.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan Yam Tuan Muda Riau III, Daeng Kemboja dan Raja Haji.

Mereka kemudian memperkukuh pertahanan di Pedas yang terletak dalam daerah Rembau.

Namun, peperangan berakhir dengan perjanjian damai pada 1758 antara Daeng Kemboja dan Belanda. Persetujuan tersebut tidak disenangi Raja Haji Fisabilillah dan beliau berazam merampas semula Linggi daripada penguasaan penjajah.

Secara keseluruhan, lima bersaudara Bugis memainkan peranan penting dalam pergolakan politik negeri-negeri Melayu abad ke-18, termasuk di Kalimantan, Johor, Selangor, Kedah, Linggi dan Perak.

Di Selangor, saudara Raja Haji Fisabilillah iaitu Raja Lumu diangkat sebagai Sultan Selangor. Usaha itu banyak dibantu Raja Haji Fisabilillah, manakala Raja Lumu pula sentiasa menyokong perjuangan saudaranya.

MASJID Raja Haji Fisabilillah di Cyberjaya, Selangor dinamakan bersempena Pahlawan Bugis, Raja Haji Fisabilillah yang menentang tentera Belanda di Melaka. -Foto: WIKIPEDIA.ORG

MASJID Raja Haji Fisabilillah di Cyberjaya, Selangor dinamakan bersempena Pahlawan Bugis, Raja Haji Fisabilillah yang menentang tentera Belanda di Melaka. -Foto: WIKIPEDIA.ORG

Pada 1777, Raja Haji Fisabilillah mengunjungi Raja Lumu di Selangor sebelum mereka berangkat ke Perak, kemudian ke Kedah. Ketika Kedah dilanda perang saudara, orang Bugis turut terlibat, hingga Opu Daeng Perani gugur terkena peluru dalam pertempuran tersebut.

Syahid di medan Melaka

Wan Mohd Shaghir dalam penulisannya, memuji keberanian Raja Haji. Katanya, dalam banyak pertempuran orang Melayu menentang penjajah, kebanyakannya berakhir dengan kekalahan, wilayah diserahkan atau tokoh ditangkap serta dibuang daerah. Namun, kes Raja Haji berbeza. Beliau berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

Pada tahun 1784, Raja Haji Fisabilillah bersama lebih 1,000 pencinta syahid berangkat dari Riau menuju ke Melaka atas jemputan anak saudaranya, Sultan Ibrahim (Sultan Selangor ketika itu).

Mereka sempat singgah di Muar bersama Sultan Mahmud sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka.

Pada 13 Februari, mereka tiba di Tanjung Palas, Telok Ketapang, kira-kira tujuh kilometer dari bandar Melaka dan mendirikan kubu.

Dua hari kemudian, pada 15 Februari, pasukan gabungan dari Riau, Bugis, Selangor dan Rembau melancarkan serangan serentak ke beberapa kawasan termasuk Punggur, Duyung, Pernu, Semabok, Hujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit China, Tanjung Keling dan Tengkera.

CAP Mohor Raja Haji Fisabilillah. -Foto: WIKIPEDIA.ORG

CAP Mohor Raja Haji Fisabilillah. -Foto: WIKIPEDIA.ORG

Serangan mengejut itu menyebabkan Belanda mengalami kerugian besar. Hampir seluruh kawasan sekitar kota Melaka jatuh ke tangan pasukan Raja Haji dan Sultan Ibrahim, kecuali Kota Melaka yang masih bertahan.

Melihat keadaan genting itu, Belanda memohon bantuan dari Betawi. Pada 1 Jun 1784, Pieter Jacob van Braam tiba bersama enam kapal besar, beberapa kapal kecil, 2,130 tentera dan 326 pucuk meriam. Mereka mengebom pertahanan Raja Haji Fisabilillah di Tanjung Palas.

Pada 16 Jun 1784, bantuan tambahan Belanda di bawah Frederick Rudolph Carel tiba dengan 734 tentera. Dalam kegelapan malam, mereka menyerang kubu Raja Haji Fisabilillah. Pertempuran sengit tercetus, ramai pejuang Bugis gugur syahid termasuk panglima Raja Haji seperti Arung Lepa, Daeng Selekang, Panglima Telebang dan Haji Ahmad.

Di tengah-tengah kepungan musuh, Raja Haji Fisabilillah bangkit menghunus badik sambil tangan kirinya menggenggam kitab Dalailul Khairat. Beliau akhirnya terkena tembakan lalu rebah syahid.

Pada 24 Jun 1784, jenazah Raja Haji Fisabilillah dibawa ke Kota Melaka. Belanda merancang untuk membawanya ke Betawi, namun kapal yang mengangkut jenazah dikatakan terbakar. Hasrat itu dibatalkan, lalu pada keesokan harinya Raja Haji Fisabilillah dimakamkan secara adat kebesaran raja-raja Melayu di kaki Bukit Melaka (kini dikenali Bukit Bendera).

Kemudian, pada zaman pemerintahan anakanda beliau, Raja Jaafar (Yang Tuan Muda Riau VI), jenazah dipindahkan ke Pulau Penyengat. Makamnya dikenali sebagai Makam Marhum Syahid Fisabilillah.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, wajar kita mengenang jasa pahlawan yang telah berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan tanah air daripada penjajahan.

Hasil perjuangan merekalah, generasi kini dapat hidup aman dan sejahtera.

*Artikel ini ditulis oleh Dr Farid Mat Zain, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Bahasa Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia



Source link

OR

Scroll to Top