Aktres cantik Nora Danish memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan terperinci mengenai status hubungan dengan perunding kewangan, Mickey Ayo, walaupun mereka dilihat semakin kerap muncul bersama sejak kebelakangan ini.
Menurut Nora, 43, masih terlalu awal untuk mereka berbicara tentang hal yang melibatkan perasaan dan masa depan.
“Saya rasa belum sesuai untuk kami komen panjang lebar. Kalau ada sesuatu yang baik dan wajar dikongsikan, kami sendiri akan maklumkan perkara itu nanti,” katanya.
Mengulas mengenai doa serta ucapan positif daripada peminat yang seakan-akan merestui hubungan mereka, Nora meluahkan rasa terharu dengan sokongan yang sentiasa mengiringinya.
“Dari dulu sampai sekarang, saya sangat bersyukur sebab ada peminat yang tidak pernah berhenti mendoakan saya. Terima kasih kerana terus berdiri bersama saya selama ini. Saya hargai setiap satu dan semoga doa yang baik turut kembali kepada semua,” ujarnya.
Ditanya tentang tumpuan terhadap Mickey yang kini menjadi perhatian orang ramai, Nora mengakui kadangkala situasi itu memberi tekanan kepada lelaki berkenaan. Namun, Nora sentiasa cuba memberi kekuatan.
“Saya serahkan semuanya kepada Allah. Kalau itu jalannya, saya terima dengan reda. Ada masa memang rasa sedikit berat, terutama bagi Mickey sebab dia tak biasa dengan spotlight. Tapi saya selalu ingatkan dia untuk lihat segala perkara dari sudut positif. Setiap apa yang berlaku mesti ada hikmah,” jelasnya.
Nora menambah dia sering memberi semangat kepada Mickey agar lebih kuat menghadap situasi baharu ini.
“Saya selalu latih dia untuk lebih stabil secara mental dan fizikal. Dalam hidup, akan ada yang menyokong dan ada yang sebaliknya. Itu perkara biasa,” katanya kepada XTRA.
Nora ditemui pada program Amber Allstar Picklebash di Kings Court, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam program berkenaan, Nora dan Mickey turut menyertai pertandingan pickleball dan pasangan itu berjaya meraih tempat ketiga.
Sementara itu, Mickey mengakui perhatian yang diterima sejak berkawan rapat dengan Nora membuatkan dirinya sedikit kekok.
“Memang rasa janggal sikit sebab saya tak biasa dengan semua ini. Bidang saya pun bukan hiburan. Tapi bila berkawan dengan selebriti, perkara macam ini memang tak dapat dielakkan,” katanya.
Terdahulu, nama Nora menjadi bualan selepas memuat naik foto seorang lelaki berkopiah putih yang mencetuskan teka-teki mengenai status hubungan.
Pelakon sitkom Puteri itu pernah berkahwin dengan Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum bercerai pada 19 Jun 2024. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 7.
Sebelum itu, Nora mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli pada 2006 dan berpisah pada 2008, hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak, Putra Rayqal, 17.




