am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mengalu-alukan siasatan menyeluruh polis terhadap mana-mana pihak yang dikesan terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram termasuk usahawan kosmetik dan pempengaruh.
Presidennya, Aiman Yusri, berkata mereka yang melakukan kegiatan terlarang dengan berselindung di sebalik perniagaan perlu dikenakan hukuman setimpal.
“Kita menyokong dan berterima kasih kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam ketegasan beliau dalam membanteras jenayah dadah di negeri ini.
“Jika benar ada yang melakukan kegiatan menyalahi undang-undang namun berselindung di sebalik perniagaan tertentu, mereka perlu dikenakan hukuman setimpal,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau turut menasihatkan golongan muda khususnya supaya menjauhi dan jangan sesekali terbabit dalam urusan berkaitan dadah, kerana akhirnya akan memakan diri dan keturunan
“Jihad dadah bukan sahaja kita mengharapkan kepada pihak berkuasa semata-mata sebaliknya perlu dibanteras oleh semua pihak,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, usahawan kosmetik dan pempengaruh di Kelantan yang disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram, dikesan mempunyai pasukan dan rangkaian yang lengkap dalam menjalankan kegiatan terlarang itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ini kerana kumpulan terbabit bukan pengedar kecil sebaliknya menjadi tauke besar di sebalik kegiatan dadah dan penggubahan wang haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd