July 13, 2024

Jika BN, PH tidak sehaluan lagi, bertempurlah secara politik matang dalam PRU16

Jika BN, PH tidak sehaluan lagi, bertempurlah secara politik matang dalam PRU16


JOHOR BAHRU – Kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mahu merampas semula kerusi Parlimen Sri Gading daripada Pakatan Harapan (PH) adalah berdasarkan kehendak akar umbi parti di bahagian tersebut.

Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor hanya menyampaikan hasrat akar umbi UMNO Bahagian Sri Gading yang mahu kerusi Parlimen itu kembali ke pangkuan parti.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, dakwaan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad bahawa kenyataan Onn Hafiz itu bertentangan dengan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dan mempunyai agenda adalah keterlaluan.

“Saya menasihatkan agar Faezuddin supaya tidak mengikut emosi orang muda dengan ‘terover’ melatah dalam isu kerusi Parlimen Sri Gading.

“Sebagai pemimpin yang terkenal dengan sikap prihatin kepada denyut nadi rakyat dalam urusan pentadbiran negeri dan peka dengan suara akar umbi dalam parti, beliau (Onn Hafiz) memahami kehendak kepimpinan dan ahli UMNO di Bahagian Sri Gading.

“Oleh itu beliau melontarkan saranan supaya keseluruhan kepimpinan dan jentera UMNO di bahagian itu bersedia dari awal untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Faezuddin hari ini menyifatkan kenyataan Onn Hafiz sebagai kurang cermat sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading baru-baru ini.

Beliau mendakwa kenyataan Onn Hafiz itu
seolah-olah mempunyai agenda dan bertentangan dengan semangat kerjasama dan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, tidak timbul persoalan tentang isu tidak cermat bercakap atau bertentangan dengan semangat Kerajaan Perpaduan kerana Onn Hafiz bersuara atas kapasiti sebagai Pengerusi UMNO negeri.

“Orang parti lain yang sepatutnya tidak mencampuri apa jua urusan dalaman UMNO kerana beliau bercakap atas pentas Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading,” katanya.

Menurut Abdul Halim, apa jua keputusan membabitkan pembahagian kerusi-kerusi antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan dibincangkan di peringkat Majlis Pimpinan Presiden Kerajaan Perpaduan.

Malah katanya, tempoh ke arah PRU16 juga masih jauh.

“Apatah lagi, persoalan mengenai kerjasama antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) untuk PRU16 pun belum diputuskan secara rasmi dan bertulis antara kedua-dua pihak.

“Kalau betul ada kerjasama, maka kita berbincanglah, kalau masing-masing bawa haluan sendiri maknanya kita bertempurlah secara politik matang di medan pilihan raya nanti.

“Jadi sekali lagi saya nak nasihatkan kepada AMK Johor, tak perlulah nak bereaksi berlebih-lebihan dalam perkara yang belum muktamad lagi.

“Adalah lebih baik AMK Johor bekerja keras membantu PMX dan Kerajaan Perpaduan menangkis pelbagai serangan serta persepsi daripada pihak pembangkang dalam macam-macam isu sejak kebelakangan ini. Itu lebih besar manfaatnya untuk parti saudara,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top