LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) disaran melakukan penjadualan semula Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2025-2026 agar lebih selari dengan kehendak dan cita rasa penyokong tempatan.
Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid, berpandangan bahawa perubahan selera penyokong di era moden ini yang semakin selektif merupakan satu cabaran besar buat MFL dan kelab-kelab Liga-M.
“Jadual perlawanan di gelanggang sendiri mahupun lawan perlu disusun pada hujung minggu, iaitu hari Sabtu atau Ahad. Ini telah menjadi budaya dan amalan dalam kalangan komuniti bola sepak negara ini sejak dahulu lagi.
“Perlawanan yang diadakan pada sebelah petang mungkin sesuai untuk saingan di luar negara, namun sejujurnya, bagi saya ia kurang sesuai kerana pada waktu tersebut, kebanyakan penyokong masih terikat dengan komitmen masing-masing,” tegas Mohd Faizal kepada Sukan Sinar.
Selain isu penjadualan, Mohd Faizal turut mencadangkan agar MFL, dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), memastikan pengendalian Video Bantuan Pengadil (VAR) dilakukan dengan lebih telus, khususnya kepada penyokong yang hadir di stadium.
“Walaupun nampak remeh, penyokong yang telah membeli tiket berhak untuk menyaksikan ulang tayang keputusan VAR di skrin papan skor. Ia bukan sekadar soal hak, tetapi juga penting untuk mengelak kekeliruan dan pertikaian dalam kalangan penyokong
“Perkara ini sejajar dengan piawaian Liga-M bertaraf Asia, di mana setiap venue perlawanan wajib dilengkapi papan skor yang berfungsi sepenuhnya bagi menayangkan semula insiden dinilai oleh VAR,” katanya.
Mohd Faizal juga mencadangkan agar MFL mengehadkan jumlah pemain import yang dibenarkan beraksi, meskipun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membenarkan kuota tertentu.
“Saya percaya penyokong akan kembali membanjiri stadium sekiranya kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia dikawal dengan lebih baik, seperti mana yang pernah diamalkan pada musim-musim sebelumnya.
“Sejujurnya, selain ingin menyaksikan persembahan berkualiti daripada pasukan, para penyokong lebih cenderung untuk melihat bakat-bakat anak tempatan mewakili pasukan kesayangan mereka,” katanya.
Sementara itu, Kelab Peminat Bola Sepak Kedah (PBK) mahu MFL dan kelab Liga-M lebih inovatif dalam usaha menghidupkan kembali kemeriahan saingan liga bagi musim 2025-2026.
Menurut Presiden PBK, Fazli Mansor, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada penurunan kehadiran penyokong ke stadium adalah ketidakstabilan jadual perjalanan Liga-M 2024-2025.
“Ketidakpastian jadual Liga-M telah menyebabkan penyokong kurang bersemangat untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.
“Perubahan jadual yang terlalu kerap juga menyukarkan penyokong setia untuk merancang jadual mereka, di samping tempoh saingan liga yang semakin panjang.
“Biarpun isu ini mungkin kelihatan remeh, namun bagi penyokong yang berpendapatan rendah, ia secara tidak langsung memberi impak kepada anggaran perbelanjaan mereka, yang majoritinya terdiri daripada golongan B40,” jelasnya.
Selain isu jadual, Fazli turut menekankan perlunya pengurusan kelab untuk lebih mendekati para penyokong melalui program pembangunan akar umbi yang lebih aktif, sebagai salah satu cara untuk menarik mereka kembali ke stadium.
“Menang atau kalah adalah lumrah dalam setiap pertandingan, dan semua penyokong memahami hakikat itu. Namun, untuk merapatkan jurang antara kelab dan penyokong, aktiviti yang melibatkan kedua-dua pihak adalah sangat penting.
“Penyokong juga perlu diberikan platform untuk terlibat dalam sebarang pertemuan dengan pihak pengurusan, jurulatih, atau pemain, agar mereka dapat menyuarakan pandangan mereka. Ini kerana penyokong juga merupakan ‘pemegang saham minoriti’ bagi sesebuah kelab,” ujar Fazli.
Lebih lanjut, Fazli menggariskan pentingnya kerjasama yang lebih erat antara MFL dan kelab-kelab Liga-M dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti pra-perlawanan.
Langkah ini menurutnya, bertujuan untuk menjadikan saingan liga lebih menarik dan menghiburkan bagi musim 2025-2026.
“Industri bola sepak moden telah mengalami perubahan yang signifikan. Penyokong, meskipun yang paling fanatik sekalipun, kini tidak lagi datang ke stadium hanya untuk menonton perlawanan semata-mata.
“Suasana pada hari perlawanan perlu diwujudkan dengan elemen-elemen yang menarik dan menggembirakan para penonton yang hadir, tanpa mengira apa pun keputusan akhir perlawanan. Yang terpenting adalah kepuasan yang mereka rasakan di penghujung perlawanan,” katanya.