BOLA sepak Kedah perlu dipertahankan dan kekal bersaing dalam kancah bola sepak tanah air demi maruah negeri serta legasi sukan nombor satu rakyat negeri ini, tegas pemerhati dan pengulas sukan, Datuk Jasni Shafie.
Menurutnya, adalah malang jika Kedah Darul Aman (KDA) FC terpaksa menarik diri daripada Liga Super kerana bola sepak bukan sekadar hiburan, malah telah menjadi budaya yang meresap dalam kehidupan masyarakat Kedah.
“Bola sepak di Kedah ini ibarat bola sepak di Brazil. Di sini, sukan ini bukan sahaja sukan utama tetapi juga hiburan paling penting rakyat.
“Dari istana hinggalah ke kampung, bola sepak sudah sebati dengan jiwa orang Kedah. Jika pasukan ini terkeluar daripada liga tertinggi negara, ia bukan sekadar kerugian besar tetapi juga menyedihkan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas spekulasi kemungkinan KDA FC menarik diri daripada saingan Liga Super ekoran masalah kewangan yang berpanjangan.
Tambah beliau, penarikan diri pasukan Kedah juga bakal memberi kesan buruk kepada pembangunan bakat muda tempatan yang selama ini bergantung kepada sistem akar umbi dan peluang bermain di peringkat tertinggi.
“Jumlah penyokong Sang Kenari juga antara yang tertinggi di negara ini. Jika bola sepak Kedah terkubur, suasana negeri ini akan terasa seperti sedang berkabung. Bola sepak adalah jiwa rakyat sejak sekian lama,” ujarnya.
Mengulas isu kewangan, Jasni turut menjelaskan bahawa beberapa pasukan lain seperti Perak FC dan Sri Pahang FC juga dilaporkan berdepan masalah sama disebabkan kos pengurusan yang semakin tinggi.
Katanya, peralihan daripada model Persatuan Bola Sepak (FA) ke kelab bola sepak profesional (FC) menyebabkan banyak pasukan bergelut mendapatkan sumber kewangan tetap.
“Berbanding liga luar negara yang memiliki penaja utama kukuh, struktur kewangan pasukan kita masih lemah dan sukar bertahan dalam liga profesional,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sokongan pemimpin negeri seperti Menteri Besar, Ketua Menteri, Raja atau Sultan sangat penting dalam memastikan kelangsungan bola sepak di peringkat negeri.
“Sokongan daripada pemimpin tertinggi bukan sahaja menjamin kestabilan kelab, malah membantu menarik penaja yang mampu menjamin masa depan bola sepak Malaysia,” katanya lagi.