Jika saya penjual kacang putih tepi jalan, tiada siapa peduli – Tun M

Jika saya penjual kacang putih tepi jalan, tiada siapa peduli – Tun M


KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, reputasinya tercalar ekoran kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyentuh `isu kutty’ yang disifatkan sebagai satu pembohongan, berniat jahat dan kejam.

Bekas Perdana Menteri berkata, jika beliau bukan `siapa-siapa’, tiada pihak yang akan peduli terhadap kenyataan menghina yang menyentuh keturunannya seperti yang dikeluarkan oleh Ahmad Zahid yang ketika itu Presiden UMNO.

“Jika saya penjual kacang putih tepi jalan, saya tidak kisah. Tapi saya pemimpin parti politik dan calon pilihan raya, sudah tentu kenyataan tersebut memfitnah saya,” ujar beliau ketika disoal balas oleh peguam Mohd. Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid.

Dr. Mahathir, 99, memberi keterangan pada perbicaraan kes saman terhadap Timbalan Perdana Menteri kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu yang mempersoal keturunan dan perjuangan politik beliau ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya, tujuh tahun lalu.

Beliau selaku plaintif selanjutnya berkata, kenyataan Ahmad Zahid memberi pengaruh yang besar kerana beliau pemimpin parti politik dan kata-katanya diambil serius oleh masyarakat.

Ujar bekas Perdana Menteri, kenyataan tersebut memburukkan nama beliau berdasarkan reaksi orang ramai sehingga menyebabkannya kehilangan undi dan penyokong.

“Orang ramai tiada pilihan untuk merujuk sama ada kenyataan itu betul atau palsu, tambahan pula beliau (defendan) pemimpin parti politik dan kenyataannya diambil serius.

`Pada peringkat awal, saya tidak rasa orang ramai mengambilnya sebagai sesuatu yang serius, namun saya lihat ramai yang komen dan memberi reaksi yang mencalar reputasi saya.

“Meskipun defendan tidak menyebut `Dr. Mahathir’, segala kenyataan itu merujuk kepada saya, bukan orang lain kerana beliau menggunakan ayat tertentu seperti `Melayu Mudah Lupa’,” ujar plaintif.

Bekas Perdana Menteri seterusnya menyatakan, beliau memfailkan tindakan saman kerana keengganan defendan memohon maaf meskipun selepas lima tahun kenyataan itu dikeluarkan.

Ujar beliau, dalam politik banyak cara untuk melemahkan pembangkang iaitu dengan menyerang peribadi atau mendakwanya dengan pertuduhan jenayah.

Jelas Dr. Mahathir, defendan cuba melemahkan beliau dengan cara menjejaskan reputasi menerusi kenyataan yang mengaitkan keturunannya serta mendakwa dia menipu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Dr. Mahathir selaku plaintif mendakwa Presiden UMNO itu antara lain mempertikai asal usulnya yang dikatakan bukan berketurunan Melayu ekoran perkataan `kutty’ didakwa tertera pada kad pengenalan berwarna biru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut plaintif, rakaman video mesyuarat tersebut yang berlangsung pada 30 Julai 2017 kemudian diterbitkan semula dalam akaun Youtube Astro AWANI dan telah mencatat 148,199 tontonan.

Pernyataan tuntutan tersebut antara lain menyatakan, Ahmad Zahid (defendan) seperti dalam rakaman video berdurasi hampir tiga minit itu turut memfitnah beliau dengan menyentuh perjuangan politiknya ketika dalam UMNO.

Plaintif menyatakan, defendan berniat jahat ketika mengeluarkan kenyataan fitnah sehingga mendedahkan beliau kepada kebencian masyarakat dan menyebabkan kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik berpengaruh, dipandang serong.

Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong bersambung esok. Dr. Mahathir diwakili Mior Nor Haidir Suhaimi dan Muhammad Rafique Rashid Ali.





Source link

OR

Scroll to Top