JIM gempur pusat karaoke tawar 'peneman', 102 wanita ditahan

JIM gempur pusat karaoke tawar 'peneman', 102 wanita ditahan


hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur pusat karaoke di Jalan Imbi, yang menawarkan ‘peneman’ warga asing, Rabu lalu.

Serbuan pada 11.30 malam itu dibuat hasil aduan awam dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama seminggu.

JIM dalam kenyataannya berkata, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 70 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke pusat karaoke tersebut dengan turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha.

“Seramai 119 individu yang terdiri daripada tiga lelaki dan 102 perempuan warganegara asing serta 14 warganegara tempatan diperiksa dalam operasi ini.

“Hasil pemeriksaan, seramai 102 wanita yang terdiri dari warganegara Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos dan Myanmar berumur di antara 21 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Turut ditahan dua warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai pemilik premis atau ‘penjaga’ kepada perempuan warga asing tersebut,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenalpasti termasuk penyalahgunaan pas lawatan dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan Depot Tahanan Imigresen untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Selain itu katanya, pemilik premis juga dikenakan tindakan kerana disyaki melindungi dan menggaji pendatang di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Pusat hiburan ini menawarkan langganan wanita warga asing berumur antara 20 hingga 30 tahun sebagai peneman berhibur dengan bayaran sekitar RM100 hingga RM200 sejam.

“Ia juga bergantung kepada tempoh yang diinginkan oleh pelanggan, bermula jam 4 petang hingga 2 pagi.

“Mereka dipercayai boleh mengaut keuntungan antara RM7,000 hingga RM25,000 sebulan melalui kegiatan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top