am@hmetro.com.my
Seremban: Pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai dieksploitasi majikan diselamatkan dalam operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS), petang tadi.
Pengarah JIMNS, Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi dijalankan pada jam 1 tengah hari dan berakhir jam 3 petang di sebuah premis kediaman di Taman Kemayan, Seremban 2, di sini.
“Operasi dilaksanakan dengan kekuatan seramai 11 pegawai JIMNS. Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita warga asing berumur 51 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi.
“Mangsa ditemui bersembunyi di dalam sebuah almari pakaian di bilik utama kediaman berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kennith berkata, mangsa warga Indonesia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Susulan itu, mangsa diselamatkan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Senawang bagi tujuan perlindungan dan membantu siasatan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Seorang majikan wanita warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 ATIPSOM 2007, manakala dua individu lain dikenakan notis saman sebagai saksi untuk hadir memberi keterangan di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Seremban,” katanya.
Tegas beliau, JIMNS memberi komitmen berterusan dalam membanteras sebarang bentuk eksploitasi dan penderaan, termasuk membabitkan warga asing dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






