JIM serbu 5 premis, tahan 39 warga asing

JIM serbu 5 premis, tahan 39 warga asing



hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cubaan 39 warga asing melarikan diri gagal apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam serbuan di lima premis di sekitar Selangor, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya menjalankan Ops Gegar, Ops Sapu dan Ops Selera, di dua kedai makan, dua pusat urut dan sebuah asrama pekerja pusat urut, bermula 10 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menahan dua majikan iaitu lelaki tempatan yang juga pemilik rumah urut, dan lelaki warga Thailand yang berkahwin dengan wanita tempatan dan pemegang pas lawatan sosial serta pemilik sebuah kedai makan.

“Pemeriksaan dilakukan membabitkan 43 individu dan seramai 39 warga asing ditahan membabitkan lapan lelaki warga Indonesia, tiga lelaki Bangladesh, empat lelaki Thailand, tiga Myanmar dan masing-masing seorang lelaki warga Nepal dan Sri Lanka.

“Selain itu, wanita warga asing yang ditahan membabitkan tiga warga Indonesia, warga Vietnam (5), warga Thailand (11) dan seorang wanita warga China. Kesemua individu ditahan berusia antara 17 hingga 45 tahun.

“Ketika operasi, ada warga asing yang cuba menyorok di belakang tilam dan belakang tangga selain cubaan melarikan diri untuk mengelak daripada ditangkap,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kami turut mengeluarkan lima saman dalam operasi berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top