JIM serbu sarang pelacuran, tahan 89 warga asing

JIM serbu sarang pelacuran, tahan 89 warga asing


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu tiga premis di sekitar ibu kota di sini, yang dipercayai menyediakan wanita pelayan pelanggan (GRO) dan terbabit aktiviti pelacuran wanita warga asing dalam Ops Gegar, kelmarin.

Operasi dilakukan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM, Putrajaya di sekitar Kuchai, Sri Petaling dan Cheras itu membawa kepada penahanan 89 warga asing dan empat warga tempatan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menyerbu dua premis kerana disyaki terbabit aktiviti pelacuran wanita warga asing dan menahan seramai 26 wanita warga asing pada 3 petang.

Menurutnya, wanita yang ditahan terdiri daripada enam warga Thailand, lapan warga Indonesia, 11 wanita Vietnam dan seorang warga Myanmar yang disyaki menawarkan perkhidmatan seks.

Katanya, turut ditahan dua lelaki warga Bangladesh dan Pakistan kerana disyaki bekerja di premis berkenaan, selain empat lelaki warga tempatan kerana disyaki sebagai penjaga kapten premis itu.

“Kegiatan itu berselindung di sebalik premis hotel murah dan menawarkan wanita warga Thailand, Vietnam, Myanmar dan Indonesia bagi tujuan seks dengan harga antara RM160 hingga RM480.

“Modus operandi sindiket itu adalah dengan mempromosikan perkhidmatan di laman sesawang dan pelanggan akan melanggan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram sebelum diarahkan ke lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dalam serbuan di sebuah pusat hiburan menawarkan GRO warga asing, pihaknya menahan 61 warga asing pada 10.55 malam.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada 44 wanita warga Thailand, dua wanita warga Vietnam, empat wanita warga Laos, dua wanita warga Myanmar yang disyaki bekerja sebagai GRO.

“Turut ditahan lima lelaki warga Bangladesh dan empat lelaki warga Thailand yang disyaki bekerja di premis berkenaan,” katanya.

Zakaria berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya dan pihaknya turut mengeluarkan notis untuk hadir bagi membantu siasatan kepada tujuh warga tempatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top