BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei menyifatkan kejayaan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang muncul juara dunia, dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, yang meraih pingat perak di Kejohanan Badminton Dunia 2025, sebagai detik bersejarah yang menyuntik semangat baharu buat sukan badminton negara.
Menurut Chong Wei, kedua-dua pasangan tersebut telah membuktikan bahawa kerja keras, semangat berpasukan dan ketahanan mental mampu membuahkan kejayaan di pentas tertinggi.
“Tang Jie dan Ee Wei bukan sahaja memenangi gelaran dunia pertama mereka, malah mereka melakukannya dengan penuh gaya. Persefahaman mereka di gelanggang sangat mantap, dan kemenangan ini adalah hadiah terbaik buat rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
Tang Jie-Ee Wei yang merupakan pilihan keempat mencipta sejarah apabila muncul sebagai beregu campuran pertama negara menjuarai Kejohanan Dunia, selepas menundukkan beregu ranking kedua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, dalam straight set 21-15, 21-14 dalam perlawanan akhir di Adidas Arena, Paris.
Sementara itu, perjuangan kental Pearly-Thinaah yang merupakan pilihan kedua menyaksikan mereka terpaksa berhempas pulas selama 63 minit menentang beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, sebelum akur dengan kekalahan 21-14, 20-22, 21-17 dalam final.
Pearly-Thinaah meraih pingat perak di Kejohanan Badminton Dunia 2025.
Chong Wei turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha gigih Pearly-Thinaah yang berjaya mara ke final dan membawa pulang perak — pencapaian terbaik dalam sejarah beregu wanita negara di kejohanan dunia.
“Pearly dan Thinaah menunjukkan semangat juang luar biasa sepanjang kejohanan. Mereka telah mencuri hati rakyat Malaysia dengan aksi penuh semangat dan tidak pernah berputus asa,” ujar Chong Wei lagi.
Tambah beliau, pencapaian kedua-dua pasangan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu barisan kejurulatihan yang bekerja keras di sebalik tabir.
“Saya juga ingin memberi penghargaan kepada jurulatih dan semua yang terlibat dalam membentuk mereka menjadi pemain bertaraf dunia. Inilah hasil daripada proses pembangunan yang berterusan,” jelasnya.
Chong Wei optimis bahawa kejayaan ini hanyalah permulaan kepada era baharu kegemilangan badminton negara.
“Saya yakin mereka mampu pergi lebih jauh. Ini bukan pengakhiran, tetapi satu permulaan kepada kejayaan yang lebih besar. Malaysia kini kembali menjadi kuasa besar badminton dunia,” katanya.