Melbourne: Pemain golf Korea Selatan, Shin Jiyai, menampilkan prestasi cemerlang meskipun diuji dengan tekanan saat-saat akhir untuk merangkul gelaran kedua Terbuka Australia di Kingston Heath hari ini.
Bekas pemain nombor satu dunia itu mendahului dengan tujuh pukulan ketika baki lapan lubang, tetapi terjejas oleh bogey lewat yang memberikan peluang kepada juara bertahan dua kali, Ashleigh Buhai, untuk merapatkan jurang kepada dua pukulan di lubang ke-18.
Bagaimanapun, harapan Buhai untuk mengheret perlawanan ke playoff tidak kesampaian apabila putt birdie jauhnya hanya meluncur di tepi lubang.
Jiyai hanya memerlukan dua putt dari jarak 1.8 meter (m) untuk mengesahkan kemenangan, tetapi berjaya menamatkan saingan dengan satu putt sahaja.
Dengan catatan pusingan akhir 70, Shin mencatat jumlah keseluruhan 17 bawah par 274, menjadikannya gelaran profesional ke-65 dalam pelbagai kejohanan.
“Perlawanan ini tidak mudah, tetapi sekarang saya boleh bernafas lega,” kata Jiyai yang dikerumuni rakan-rakan pemain Korea Selatan sambil disiram air di tepi green.
Pemain berusia 36 tahun itu, yang juga juara edisi 2013, menunjukkan kehebatannya apabila bangkit selepas double bogey di lubang kedua dengan mencatat birdie, eagle, dan birdie di tiga lubang seterusnya.
Aksi itu memberikan Jiyai kelebihan enam pukulan ke atas pencabar terdekat, Hannah Green, pemain harapan tuan rumah, yang tergelincir dengan triple bogey di lubang ketujuh.
Jiyai terus mengukuhkan kedudukan dengan eagle di lubang ke-10, melebarkan jurang kepada tujuh pukulan dari Ashleigh.
Walaupun Ashleigh bangkit dengan lima birdie di sembilan lubang terakhir, usaha itu tidak cukup untuk menggugat Jiyai, yang sedikit goyah dengan bogey di lubang ke-15 dan ke-17, tetap mampu menamatkan saingan dengan tenang.
Pemain amatur Korea Selatan, Yang Hyo Jin, menamatkan kejohanan di tempat ketiga dengan tujuh bawah par selepas catatan pusingan 72, satu pencapaian luar biasa untuk pemain berusia 17 tahun yang tidak sempat menjalani latihan di Kingston Heath.
Pemenang kejuaraan utama, Hannah, berkongsi tempat keempat bersama rakan senegara Grace Kim, satu pukulan di belakang, sekali lagi mengecewakan harapan Australia untuk mendapatkan juara tempatan di kejohanan ini sejak 2014.
© New Straits Times Press (M) Bhd