harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memperhebat usaha membanteras penyeludupan dadah melalui udara dengan menggunakan 20 anjing pengesan dadah (APD) dan tambahan 66 mesin pengimbas di semua pintu masuk antarabangsa.
JKDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah ini susulan peningkatan 22 peratus kes penyeludupan dadah melalui udara tahun ini, iaitu 135 kes berbanding 111 pada tempoh sama tahun lalu.
JKDM turut menekankan pentingnya kerjasama erat dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan pihak berkuasa Zon Bebas bagi memuktamadkan strategi penguatkuasaan di kawasan sensitif seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perbincangan strategik yang diadakan pada 17 Disember lalu antara JKDM dan MAHB memberi penekanan terhadap kawalan di kawasan kargo, mel, dan parcel, yang kini menjadi laluan utama penyeludupan.
“JKDM diwakili oleh Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Raizam Setapa@Mustapha, manakala Malaysia Airports diwakili oleh Abd Hasman Abd Muhimim bersama pihak Cargo Terminal Operator.
“Perbincangan terbabit juga bagi memuktamadkan strategi penguatkuasaan di dalam kawasan Zon Bebas termasuk Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
“Ia mendapat sambutan positif daripada MAHB selaku pihak berkuasa zon dan Cargo Terminal Operator yang berdaftar dengan pihak berkuasa di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991,” menurut JKDM dalam kenyataannya itu.
JKDM percaya libat urus yang berterusan dengan pihak berkuasa zon dan Cargo Terminal Operator akan dipanjangkan ke semua pintu masuk antarabangsa lain dalam usaha JKDM dan pihak berkuasa menyekat pergerakan dadah melalui udara.
Katanya, JKDM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta 234 ini.
“JKDM juga sentiasa komited dan bersedia untuk bekerjasama dengan agensi lain dalam mengawal pintu keluar masuk negara demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
“Pihak JKDM menyeru orang awam supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
“Orang ramai juga boleh menghubungi pejabat kastam berhampiran di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd