JKDM nafi dakwaan Ketua Pengarah 'payung' sindiket seludup kereta mewah

JKDM nafi dakwaan Ketua Pengarah 'payung' sindiket seludup kereta mewah



harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan dakwaan tular menuduh Ketua Pengarah Kastam memberi layanan istimewa dan ‘memayungi’ sindiket penyeludupan kereta mewah di Sarawak.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pematuhan dan Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah, berkata tuduhan itu dilemparkan sebuah halaman di media sosial yang mendakwa sindiket terbabit menerima layanan istimewa sebelum dilepaskan begitu sahaja.

“Sehubungan itu, JKDM ingin membuat penafian berhubung tohmahan yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sebagai makluman, Bahagian XII Akta Kastam 1967 menjamin hak untuk pegawai yang ditempatkan di Bahagian Penguatkuasaan untuk menjalankan tugas penguatkuasaan tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.

“Ini termasuk aktiviti penguatkuasaan di peringkat negeri, yang mana ia adalah di bawah bidang kuasa negeri yang diterajui oleh Pengarah Kastam Negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu halaman terbabit memuat naik satu tangkap layar memaparkan perbualan dalam sebuah grup sembang bernama ‘Penguatkuasaan Kuching’ dengan arahan mengosongkan kawasan parkir berbumbung.

Hantaran itu disertai dengan kapsyen menuduh sindiket penyeludupan kereta mewah di Sarawak semakin berani dan mendakwa aktiviti jenayah mereka dipayungi Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Ribuan berkata, hantaran tular berkenaan membabitkan kenderaan yang disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 di mana pemilik kereta terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.

Katanya, di bawah Akta Kastam 1967 pegawai JKDM mempunyai kuasa menyita barangan sekiranya terdapat keraguan atau sebab yang munasabah.

“Pegawai kastam diberi kuasa yang komprehensif di bawah Seksyen 106B dan 106C Akta Kastam 1967 untuk menjalankan pemeriksaan, siasatan dan penguatkuasaan.

“Keputusan untuk meneruskan sesuatu tindakan sama ada pendakwaan atau melepaskan kenderaan kenderaan terbabit tertakluk kepada kuasa Pendakwa Raya di bawah Seksyen 379 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Sehubungan itu beliau menegaskan sebarang tangkapan atau sitaan dalam kes yang tular berkenaan tiada campur tangan dari ketua pengarah, sebaliknya di bawah bidang Bahagian Penguatkuasaan yang diterajui oleh Pengarah Kastam Negeri Sarawak.

“JKDM juga ingin menegaskan ketua pengarah tidak pernah campur tangan dalam urusan atau aktiviti-aktiviti penguatkuasaan dan penahanan kenderaan kenderaan berkenaan.

“Atas penafian ini, satu laporan polis sudah dibuat bagi menjaga nama baik dan imej KPK serta JKDM,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top