JKmR komited pantau SPRM, pastikan tadbir urus telus

JKmR komited pantau SPRM, pastikan tadbir urus telus


hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKmR) yang memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kekal komited untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dalam memastikan pelaksanaan mandat agensi itu dijalankan secara telus, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh.

Pengerusi JKmR, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pihaknya yakin bahawa kepelbagaian latar belakang dan kepakaran yang dimiliki oleh ahli JKmR secara bipartisan akan memberikan nilai tambah kepada keberkesanan jawatankuasa berkenaan.

“Selain nilai tambah, kepelbagaian ini akan meningkatkan kredibiliti Laporan Tahunan SPRM yang akan dikemukakan kelak.

“Kita perlu menghormati bidang kuasa masing-masing, sama ada JKmR mahupun SPRM, komited pada objektif bersama, mengutamakan ketelusan, justeru kepercayaan umum terhadap tadbir urus negara dapat dipertahankan,” katanya pada mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya.

Pada mesyuarat berkenaan turut diberikan taklimat rasmi berkenaan hala tuju suruhanjaya kepada semua ahli JKmR, sebagai permulaan kepada kerjasama lebih strategik dalam memperkukuh sistem pencegahan rasuah negara.

Sementara itu, ahli-ahli JKmR turut memberikan beberapa cadangan bagi meningkatkan kredibiliti SPRM dalam mempergiatkan usaha-usaha pencegahan rasuah seperti cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah, perincian strategi untuk meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI), meningkatkan persepsi masyarakat terhadap SPRM melalui pelbagai platform komunikasi, dan langkah-langkah untuk menangani cabaran dalam pendakwaan kes rasuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top