Riyadh: Joao Felix kini menjadi pemain keempat termahal sepanjang zaman dari segi jumlah keseluruhan nilai perpindahan dalam karier.
Perpindahan penyerang itu dari Chelsea ke kelab Arab Saudi, Al-Nassr bernilai £43.7 juta (RM265.1 juta) sekali gus meletakkannya mengatasi beberapa nama besar dalam senarai pemain paling bernilai di dunia.
Jumlah itu menjadikan keseluruhan nilai perpindahan pemain berusia 25 tahun itu kini mencecah £195 juta (RM1.18 bilion).
Bintang Portugal itu mula mencipta nama bersama Benfica sebelum dibeli Atletico Madrid pada 2019 dengan nilai mencecah £113 juta (RM685.4 juta) – perpindahan keempat termahal dalam sejarah bola sepak.
Sepanjang lima tahun di Atletico, dia sempat dipinjamkan ke Chelsea dan Barcelona.
Felix menyertai Chelsea secara tetap tahun lalu dengan nilai £38.4 juta (RM233.1 juta), namun dijual semula dengan cepat selepas gagal memberi impak dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tidak menyerlah ketika dipinjamkan ke AC Milan.
Di Al-Nassr, Felix bakal menerima gaji sekitar £420,000 (RM2.55 juta) seminggu untuk tempoh lima tahun – meletakkannya sebagai pemain dengan gaji kedua tertinggi di dunia selepas Erling Haaland.
Felix kini berada dalam senarai eksklusif bersama nama-nama besar dalam sejarah perpindahan termahal dunia, diketuai bintang Brazil, Neymar.
Neymar mencatat jumlah keseluruhan perpindahan tertinggi iaitu £345 juta (RM2.09 bilion), hasil perpindahan ke Barcelona, PSG dan Al-Hilal.
Bekas penyerang Chelsea, Romelu Lukaku berada di tangga kedua dengan nilai £318 juta (RM1.92 bilion) hasil sembilan perpindahan termasuk ke Manchester United, Chelsea dan Inter Milan.
Cristiano Ronaldo pula di tempat ketiga dengan jumlah £213 juta (RM1.29 bilion), menerusi perpindahan ke Manchester United, Real Madrid dan Juventus.
Di tempat kelima selepas Felix ialah bintang PSG, Ousmane Dembele dengan nilai perpindahan keseluruhan £190 juta (RM1.15 bilion), hasil perpindahan ke Borussia Dortmund, Barcelona dan PSG.
Dua lagi pemain yang sering berpindah, Alvaro Morata dan Antoine Griezmann menghuni tangga keenam dan ketujuh dengan nilai masing-masing £180 juta (RM1.09 bilion) dan £178 juta (RM1.08 bilion), dengan kedua-duanya pernah beberapa kali menyarung jersi Atletico Madrid.
Dua pemain Manchester United, Matthijs de Ligt dan Matheus Cunha masing-masing berada di kedudukan kelapan dan kesembilan.
De Ligt yang mencuri perhatian bersama Ajax pada musim 2018/19 menghasilkan nilai perpindahan keseluruhan £170 juta (RM1.03 bilion) selepas berpindah ke Juventus, Bayern Munich dan United.
Matheus Cunha pula mencatat nilai £166 juta (RM1.01 bilion) selepas perpindahan terbaharu dari Wolves bernilai £62.5 juta (RM379.1 juta), disokong perpindahan sebelumnya ke Atletico.
Menutup senarai 10 teratas ialah bekas bintang Liverpool, Philippe Coutinho dengan jumlah keseluruhan £156 juta (RM946 juta), kebanyakannya hasil perpindahan besar £116 juta (RM703.7 juta) ke Barcelona pada 2018.
© New Straits Times Press (M) Bhd