Joao Felix sertai Al Nassr, terima gaji RM42 juta setahun

Joao Felix sertai Al Nassr, terima gaji RM42 juta setahun


Penyerang Portugal, Joao Felix secara rasmi menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Arab Saudi, Al Nassr

PENYERANG Portugal, Joao Felix secara rasmi menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Arab Saudi, Al Nassr sekali gus menyertai rakan senegaranya, Cristiano Ronaldo di kelab itu.

Felix sebelum ini mencipta perpindahan sensasi dari Benfica ke Atletico Madrid pada 2019, namun kerjayanya sejak itu tidak begitu menyerlah.

Dia kekal sebagai antara perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak selepas menyertai Atletico dengan nilai €127.7 juta (RM626 juta) enam tahun lalu.

Namun sejak itu, dia gagal menjaringkan lebih daripada 10 gol semusim walaupun pernah dipinjamkan ke kelab-kelab ternama seperti Barcelona, AC Milan dan Chelsea.

Menurut akhbar sukan Riyadh, Arryadia, Felix akan menerima gaji tahunan sebanyak AS$10 juta (RM42 juta) di Al Nassr.

Arab Saudi sebelum ini mengubah landskap bola sepak dunia dengan membelanjakan wang yang besar untuk membawa masuk pemain bintang dari Eropah, bermula dengan ketibaan Ronaldo pada 2023.

Kebanyakan pemain yang dibawa masuk sebelum ini adalah bintang yang sudah berusia, namun Felix dilihat berbeza apabila menyertai gelombang baharu bersama Mateo Retegui iaitu penjaring terbanyak Serie A yang baru menyertai Al Qadsiah minggu lalu.

Sementara itu, pemain antarabangsa Perancis, Theo Hernandez, 27, turut meninggalkan AC Milan untuk menyertai Al Hilal dalam satu perpindahan bernilai sekitar AS$29 juta (RM123 juta) awal bulan ini.

Selain pemain, jurulatih berprofil tinggi juga berjaya dipikat ke Arab Saudi termasuk pengendali Itali, Simone Inzaghi yang mengejutkan dunia bola sepak apabila membimbing Al Hilal menewaskan Manchester City dalam aksi Piala Dunia Kelab.



Source link

OR

Scroll to Top