mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pemain gitar popular, JoBranko mencatat sejarah apabila menjadi satu-satunya pemain gitar dari Asia dilantik sebagai duta Gibson yang juga jenama gitar terkenal dunia atas tajaan Music Bliss.
JoBranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, yang juga ketua kumpulan Barbarik, menyifatkan apa yang diperoleh adalah satu langkah baru paling tinggi sepanjang kerjayanya sebagai pemuzik.
“Ini satu langkah permulaan untuk saya walaupun sudah lama terbabit dalam industri muzik. Saya mula menggunakan jenama ini sejak 30 tahun lalu dan ia memang dekat dengan jiwa saya,” katanya yang juga bekas pemain gitar Wings.
JoBranko berkata, dia mula menggunakan gitar Gibson ketika rakaman album Wings & Superfriends pada 1994.
“Bunyinya memang dekat dengan jiwa saya. Jika anda tanya saya mengenai semua jenis gitar Gibson, saya boleh tahu bagaimana bunyiannya untuk setiap gitar. Dah banyak karya-karya saya banyak menggunakan gitar ini,” katanya di majlis pelantikan Duta Gibson Guitar Avenue by Music Bliss di sebuah pusat beli-belah terkemuka, di sini.
Antara pemain gitar legenda dunia yang turut menggunakan jenama Gibson ialah Jimmy Page dari Led Zeppelin, Tony Iommi (Black Sabbath), Slash (Guns N Roses), Angus Young (AC/DC), Randy Rhoads, Kirk Hammett (Metallica) dan Eddie Van Halen.
Menerusi kerjasama yang dimeterai, JoBranko akan bergelar duta selama setahun dan berpeluang memberikan idea mengenai pemilihan gitar yang bakal dikeluarkan.
Selain itu, JoBranko juga akan berlepas ke Amerika Syarikat, Ahad ini untuk melawat Gibson Garage di Nashville, Tennesse.
Gibson akan mengeluarkan lapan siri gitar seleksi JoBranko termasuk satu yang dibuat khas mengikut spesifikasi yang ditentukan JoBranko sendiri.
Sebanyak tujuh lagi siri seleksi gitar JoBranko akan dijual dengan harga bermula dari RM45,000 bergantung kepada jenis dan kualiti kayu yang akan ditentukan selepas pulang dari Nashville nanti.
Sebagai duta, Jobranko juga akan terbabit dalam pelbagai aktiviti yang dirancang Music Bliss antaranya promosi gitar dan pembabitan dalam media sosial seperti saluran YouTube Music Bliss dan juga saluran media sosial yang lain untuk berkongsi pengalaman serta inspirasi kepada peminatnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Music Bliss, Jonathan Lee berkata, mereka sangat berbangga dapat bekerjasama dengan seorang pemuzik yang disegani seperti Jobranko.
“Pengaruh dan semangatnya terhadap muzik amat sepadan dengan komitmen kami dalam memperkenalkan Gibson kepada peminat yang lebih luas, khususnya golongan muda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd