Mohd Joehari. Foto Bernama
MEMPERBAIKI situasi suram dalam Liga Malaysia (Liga-M) menjadi antara agenda utama Datuk Mohd Joehari Mohd Ayob selepas secara rasminya dilantik sebagai Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menurut Mohd Joehari, beliau mengakui saingan Liga-M berada dalam keadaan kurang sihat dan satu perancangan akan dilakukan bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memperbaiki liga.
“Ini (situasi liga) antara perkara yang kita akan lihat, kita tahu keadaan dalam Liga-M tidak berapa sihat.
“Ini adalah salah satu pelan yang akan kita lihat dan bekerjasama dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memperbaiki keadaan liga,” katanya dalam sidang akhbar selepas Kongres Pemilihan FAM pada Sabtu.

Mohd Joehari (tengah) bergambar bersama kepimpinan baharu yang dipilih selepas Kongres Tahunan FAM ke-61 di sebuah hotel hari ini. Foto Bernama
Sebelum ini, saingan Liga-M dinilai agak hambar terutama keterujuan penonton untuk menyaksikan setiap perlawanan di stadium.
Joehari secara rasminya dilantik sebagai presiden baharu FAM selepas menang tanpa bertanding pada kongres pemilihan badan induk bola sepak itu pada Sabtu.
Beliau menggantikan presiden terdahulu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2018 pada kongres kali ini.
Dalam pada itu, Joehari mahu memastikan FAM terus berada pada tahap terbaik dan mengakui Hamidin telah meninggalkan satu penanda aras yang tinggi untuk dicapai.
“Hamidin boleh dikatakan legenda dalam bola sepak dan presiden yang telah membuat pencapaian yang amat tinggi.
“Saya akan bekerja dengan barisan exco yang ada dan kita akan pastikan bawa bola sepak ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.